KUALA LUMPUR: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman mendedahkan beliau sudah mengemukakan tawaran sebanyak RM300,000 kepada Gerakan Selamatkan Kelantan (GSK) yang diterajui Nik Hafiz Naim Nik Hassan untuk membeli pasukan itu.
Namun, Norizam yang lebih dikenali sebagai Zamsaham menegaskan tawaran yang disertakan dengan ‘diskaun besar’ itu bagaimanapun tidak mendapat maklum balas GSK ketika Norizam sudah bersedia untuk melepaskan majoriti pegangan saham dimilikinya dalam pasukan itu.
“Saya ada berikan pilihan percuma dan jual tetapi GSK (Nik Hafiz dan Kumpulan) tidak terima sebaliknya mahu membeli dan ‘control’ sepenuhnya TRW Kelantan FC.
“Perbincangan daripada RM3 juta akhirnya saya setuju jual majoriti pegangan saham pada nilai RM300,000 tetapi akhirnya tiada jawapan daripada Nik Hafiz.
“Saya ada menghubungi Nik Hafiz juga berkenaan bayaran ini, tapi tiba-tiba senyap,” kata Norizam menerusi kemaskini di laman Facebooknya.
Malah, Norizam mendakwa Nik Hafiz membuat ketetapan untuk menubuhkan Kelantan Red Warriors (KRW) selepas rundingan membeli pegangan saham dalam Kelantan FC tidak dapat dilaksanakan.
“Sebaliknya Nik Hafiz berjumpa Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Liga Bolasepak Amatur ( AFL) langsung dan menubuhkan Kelantan Red Warriors.
“Saya melihat KRW ingin menjadi TRW dengan nama Kelantan Red Warriors berserta logo yang menjadi milik rasmi TRW.
“Hari ini orang keliru ada lagi TRW dari Kelantan Darul Naim (KDN). Pada saya kekeliruan ini tidak akan menjadi isu jika pihak AFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggubal suatu undang-undang khusus tentang nama,” kata Zamsaham.
Terdahulu, belum pun saingan Liga M bermula, KRW sudah dilanda musibah apabila pasukan itu bukan saja kemungkinan berhadapan larangan membeli pemain baharu, sekali gus bakal terlepas aksi saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/26.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman yang menjelaskan mengenai sekatan dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Namun, AFL menangguhkan dua aksi awal Liga A1 Semi Pro membabitkan KRW susulan isu sekatan perpindahan pemain yang dikenakan ke atas kelab itu.
Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya ketika ini memberikan kelonggaran kepada KRW untuk menyelesaikan isu dengan badan induk bola sepak dunia itu. – Berita Harian