Politik

Menteri muat naik foto lawat Presiden PAS tanpa izin

KUALA TERENGGANU: Keluarga Presiden PAS menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memuat naik gambarnya melawat Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke media sosial tanpa izin pihak keluarga.

Anakanda Tuan Guru Abdul Hadi, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan itu disifatkan sebagai tidak menghormati privasi pesakit serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) lawatan hospital.

“Mewakili pihak keluarga, kami menyatakan rasa kecewa dengan sikap Menteri Kesihatan yang tidak menghormati privasi keluarga dan SOP lawatan di hospital, ketika melawat Tuan Guru di wad CCU (Unit Rawatan Jantung), IJN (Institut Jantung Negara).

“Malah penyebaran gambar Tuan Guru tanpa izin keluarga yang dimuat naik di Facebook Menteri untuk tatapan awam, amatlah tidak wajar dan sangat tidak beretika. Sikap tidak profesional ini sangat dikesal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Khalil memaklumkan bapanya dijadual menjalani satu prosedur rawatan pada 17 Jun dan meminta orang ramai mendoakan kesembuhan Tuan Guru.

Tengah hari semalam, beliau juga melaporkan bahawa Tuan Guru selamat menjalani satu prosedur rawatan tersebut. – Harakahdaily

Related Posts