Politik

Rafizi tidak akan tubuh parti politik baharu

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menjawab teka-teki sama ada pihaknya akan membuat parti baharu selepas kekalahannya dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 23 Mei lalu.

Menerusi ‘Podcast Yang Berhenti Menteri’ yang disiarkan di saluran YouTubenya malam semalam, Rafizi berkata, negara dan rakyat tidak memerlukan sebuah parti baharu dalam masa terdekat.

“Bukan soal orang minat atau tidak minat parti-parti yang ada sekarang. Sebabnya ialah yang paling penting untuk negara dan masyarakat, kita kena kekalkan kestabilan.

“Kerajaan itu tak boleh bertukar-tukar seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Biarlah kerajaan yang ada itu terus memerintah kerana akhirnya kuasa itu akan kembali juga kepada rakyat (dalam masa) dua atau dua tahun setengah daripada sekarang,” katanya.

Rafizi berkata, sekiranya berlakunya ketidakstabilan pada masa ini, ia akan mendatangkan keburukan kepada masyarakat memandangkan negara sedang melalui tempoh yang mencabar.

“Dengan adanya kestabilan politik, kita boleh melalui cabaran ekonomi dunia yang berlaku ini dengan baik.

“Dua tahun setengah daripada sekarang, kalau rakyat merasakan ada pasukan lebih baik untuk mengambil alih, itu keputusan rakyat,” katanya.

Beliau juga menyifatkan, rakyat tidak mahu melalui perkara toksik dengan penubuhan sebuah parti baharu lagi.

Dalam pada itu, Rafizi turut berpandangan terlalu awal pihaknya untuk membuat keputusan mengenai penyertaan pemilihan parti itu yang dijangka akan diadakan pada 2028.

“Antara 2025 hingga 2028 itu, macam-macam boleh jadi. Contohnya bentuk pemilihan berlainan.

“(Selain itu) kalau PKR masih lagi jadi kerajaan tahun 2028, maka semua orang berlumba-lumba untuk bertanding.

“(Tapi) kalau 2028 (itu) selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) PKR kalah teruk, aku rasa letak kerusi, entah-entah kerusi pun tak nak bertanding. Terlalu pramatang untuk cakap (mengenainya),” katanya. – Harian Metro

Related Posts