PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS memilih untuk tidak menamakan calon perdana menteri mewakili parti itu kerana sedar statusnya yang belum mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, PAS sedar mereka tidak mampu untuk memenangi kerusi yang cukup untuk menguasai Putrajaya tanpa sokongan lebih meluas, terutama di luar kawasan tradisi mereka di Pantai Timur.
Bercakap kepada FMT, Mahathir berkata tindakan menamakan calon perdana menteri terlalu awal boleh menyebabkan PAS sukar untuk meraih sokongan lebih besar daripada pengundi dari negeri-negeri lain.
“PAS tahu mereka tidak boleh jadi perdana menteri hanya dengan kekuatan sendiri. Mereka perlukan sokongan parti lain di seluruh negara.
Bercakap kepada FMT, Mahathir berkata tindakan menamakan calon perdana menteri terlalu awal boleh menyebabkan PAS sukar untuk meraih sokongan lebih besar daripada pengundi dari negeri-negeri lain.
“PAS tahu mereka tidak boleh jadi perdana menteri hanya dengan kekuatan sendiri. Mereka perlukan sokongan parti lain di seluruh negara.
“Jumlah kerusi yang mereka ada tidak cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Jadi mereka perlu bergabung dengan parti lain. Sebab itulah mereka tidak menamakan calon perdana menteri.
“Mereka boleh terima jika ada beberapa nama dipertimbangkan dan terbuka memilih mana-mana yang paling sesuai.
“Tapi mereka lebih berhati-hati untuk umumkan awal kerana bimbang itu akan menyukarkan mereka mendapat sokongan sepenuhnya,” katanya.
PAS ketika ini mempunyai 43 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikannya parti dengan kerusi terbanyak mengatasi DAP, PKR dan juga rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu BERSATU.
Sebelum ini BERSATU menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya.
Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata parti itu belum memutuskan calon untuk jawatan terbabit dan perkara berkenaan juga belum dibincangkan di peringkat PAS mahupun PN.
Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang juga menegaskan parti itu mahu memberi tumpuan kepada kemenangan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) terlebih dahulu, sebelum memikirkan calon perdana menteri.
Bagaimanapun beliau menegaskan PAS mempunyai ramai tokoh yang berkelayakan untuk memegang jawatan itu, namun tidak mahu menunjolkan diri kerana menganggap tugas itu sangat berat.
Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula mengingatkan BERSATU bahawa keputusan mengenai calon perdana menteri harus mendapat persetujuan semua parti dalam gabungan PN. – Berita Harian
