TUMPAT: Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Perikatan Nasional (PN) merupakan gabungan yang benar-benar mampu menjaga kebajikan rakyat serta menyelamatkan negara daripada kekeliruan dan kerosakan politik semasa.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berkata, ketika rakyat sedang berhadapan dengan peningkatan harga keperluan harian, mereka meletakkan harapan kepada PAS, PN dan Muafakat Nasional (MN) untuk keluar daripada kesesakan itu.
Kerana itu katanya, setiap peringkat seperti Dewan Muslimat PAS, Dewan Pemuda PAS, Dewan Ulamak PAS dan Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP) dan Sidang Assabiqun mesti bergerak dalam kerangka arahan pimpinan.
Tegas beliau, ia bagi memastikan hasrat membantu rakyat pelbagai peringkat dapat ditangani dengan baik.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tumpat Kali Ke-66 di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Ugama Arab Bustanus Saadah Morak, di sini kelmarin.
Mesyuarat berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’Mohd Nassuruddin Daud yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.
Dalam ucapannya itu juga, beliau turut menekankan kepentingan mendekati golongan muda dan membantu mereka memahami nilai serta dasar perjuangan PAS kerana golongan tersebut merupakan pelapis masa depan yang akan meneruskan misi Islam.
“Anak-anak muda dan Muslimat muda mesti bekerja keras dari sekarang untuk menjelaskan perjuangan Islam dan memahami keaslian perjuangan ini,” ujarnya. – Harakahdaily