SHAH ALAM – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menimbulkan persepsi jahat dalam perbahasan Parlimen baru-baru ini.
Susulan itu, beliau mencabar Abdul Hadi, jika ingin membuat sesuatu kenyataan atau tuduhan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibuat di luar Parlimen.
“Saya cabar Abdul Hadi buat kenyataan di luar Parlimen…ramai tak perasan Ahli Parlimen Marang pukul curi dalam perbahasan baru-baru ini.
“Tuduh PM terikat dengan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana tak hadir sidang kemuncak di Cairo, ini skrip puluhan tahun lepas yang dikitar semula.
“Beliau nak timbulkan persepsi jahat, seolah-olah kita tidak mementingkan perjuangan negara Muslim. Orang macam Abdul Hadi, pemimpin Pas… kalau betul dia nak tuduh, kalau berani tuduh…di luar, buktikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Anwar dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak hadir ke Sidang Kemuncak ke-11 Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) kerana mengutamakan tugasan rasmi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pada tarikh sidang tersebut, Anwar dan Kerajaan Malaysia menerima kunjungan hormat kali pertama Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow ke negara ini.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, ketidakhadiran Anwar adalah disebabkan urusan menyambut ketibaan tetamu negara berkenaan.
“Kalau betul, seolah-olah PMX tidak dapat memenuhi untuk mengangkat negara di persada dunia, kenapa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, datang Malaysia berhubung dengan PMX?
“Tapi bila saya tengok balik, kalau betul, siapa lapan negara yang menyertai persidangan ini? Antaranya, Indonesia, Mesir, Turkiye, kemudian Bangladesh, Pakistan dan beberapa negara lain yang membentuk lapan negara Islam ni.
“Yang dia tak nak cerita betul…kalaulah PMX tidak disukai, tidak dihormati oleh negara lain, kenapa ketika beliau ke Mesir, tahun lepas dia dapat berjumpa Presidennya? Kenapa, bila awal tahun ini, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, boleh datang buat kunjungan negara berjumpa dengan beliau?” ujarnya. – Sinar Harian