SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkeyakinan untuk berdepan sebarang cubaan menjatuhkan kerajaan menerusi proses demokrasi termasuk undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin berkata, pandangannya itu disebabkan Menteri Kewangan itu tahu gabungan pembangkang tidak akan berani mengambil langkah tersebut.
Jelasnya, keyakinan Anwar itu bersandarkan kepada empat faktor utama yang menyukarkan Perikatan Nasional (PN) mencabar kedudukan Perdana Menteri secara rasmi di Parlimen.
“Pertama, PN tidak mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk memastikan kejayaan undi tidak percaya. Ketika ini, gabungan kerajaan mempunyai kira-kira 150 ahli Parlimen.
“Kedua, PN sendiri tidak pasti kekuatan sebenar sokongan terhadap mereka. Jika mereka mencuba, itu satu langkah berisiko kerana semua pihak akan dapat lihat sokongan sebenar mereka.
“Ketiga, Anwar hampir pasti menang jika undi percaya dibawa dan ini akan menyukarkan PN untuk mencuba lagi membawa usul berkenaan sehingga mungkin selepas pilihan raya umum akan datang.
“Keempat, kemenangan dalam undi percaya akan lebih mengukuhkan kedudukan politik Anwar dan sekali gus menyukarkan pembangkang untuk menggugat kepimpinannya di mata rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, James Chin berpandangan selagi pakatan antara UMNO, Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal kukuh, Anwar tidak akan berdepan ancaman besar dalam bentuk undi tidak percaya.
Terdahulu, Anwar secara terbuka mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya sekiranya benar mereka mempunyai sokongan mencukupi untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya.
Bercakap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada pagi Isnin, beliau berkata beliau tidak gentar berdepan sebarang cubaan pertukaran kerajaan selagi ia dilakukan melalui saluran demokrasi. – Sinar Harian