Negeri Politik

‘Jawatan Presiden PAS? Saya tak berminat’ – Ahmad Samsuri

BESUT: Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menolak kemungkinan bertanding jawatan Presiden parti itu menjelang pemilihan September depan.

“Jawatan (Naib Presiden) sekarang pun sudah berat untuk saya pikul, tak timbul saya nak jawatan lain,” katanya kepada pemberita ketika melawat Projek Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Alor Keladi di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, tanggungjawab sebagai Presiden PAS amat berat untuk dipikul.

“Tidak, saya tak berhasrat merebut jawatan Presiden PAS,” katanya.

Mengenai kesediaan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, menerima pencalonan bertanding jawatan Timbalan Presiden, Ahmad Samsuri menyerahkan keputusan berkenaan kepada pemilik tubuh.

“Dia kata nak lihat anak bulan dulu, biar dia tengoklah nampak atau tak nampak.

“Biar dia buat keputusan sendiri, one hundred percent (sepenuhnya) atas pertimbangan beliau,” katanya.

Ditanya jika langkah Mohd Amar memilih untuk bertanding jawatan nombor dua parti boleh memberi kesan kepada pimpinan parti, Ahmad Samsuri menegaskan PAS membuka ruang kepada sesiapa sahaja menjadi pemimpin.

Katanya, PAS berdepan pelbagai muktamar sejak sekian lama dan parti itu berupaya menerima apa sahaja yang berlaku.

“Parti akan terus bergerak ke depan,” katanya.  – Berita Harian

Related Posts