Home NegeriIPD Dungun adakan Program High Profile Policing sempena Ramadan

IPD Dungun adakan Program High Profile Policing sempena Ramadan

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun mengadakan Program High Profile Policing (HPP) sempena sambutan Ramadan Al-Mubarak di Bazar Ramadan Batu 48, di sini, petang semalam.

Program tersebut turut diserikan dengan majlis iftar Ramadan Ketua Polis Daerah Dungun bersama anggota serta pegawai barisan hadapan IPD Dungun.

Program dimulakan dengan pengedaran risalah pencegahan jenayah kepada pengunjung bazar oleh Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir.

banner

Turut terlibat dalam program itu ialah anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Aman Wanita (Amanita) serta anggota Balai Polis Dungun, selain pegawai kanan dan pegawai rendah polis IPD Dungun.

MAIZURA Abdul Kadir (kiri) menyampaikan pamplet keselamatan kepada peniaga Bazar Ramadan Batu 48, Dungun, petang semalam.- SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pada program berkenaan, Maizura bersama anggotanya turut berinteraksi dengan masyarakat dalam konteks Community Policing dan Outreach, selain memberi peluang kepada orang ramai untuk bertemu serta beramah mesra dengan pucuk pimpinan IPD Dungun.

Beliau berkata, penganjuran HPP bertujuan memberi keyakinan kepada pengunjung bazar bahawa keselamatan mereka sentiasa dipantau dengan kehadiran anggota polis, selaras dengan slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

Sementara itu, Maizura turut mengingatkan orang ramai agar memaklumkan ketiadaan mereka di kediaman kepada pihak polis, khususnya ketika musim cuti atau perayaan, menerusi Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

MAIZURA Abdul Kadir (hadapan, dua kiri) beramah mesra dengan peniaga Bazar Ramadan Batu 48, Dungun, petang semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Bagi pengguna Android, aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store, manakala pengguna Apple melalui Apple App Store dan pengguna Huawei melalui Huawei AppGallery.

“Maklumat yang disalurkan akan diterima oleh balai polis daerah dan rondaan harian akan dilakukan di kawasan kediaman yang dilaporkan sehingga penghuni pulang,” katanya.

Menurutnya, dengan maklumat tersebut, pihak polis dapat mengetahui bahawa pemilik rumah tiada di kediaman dan rondaan keselamatan akan dilakukan sepanjang tempoh ketiadaan mereka bagi mengelakkan kejadian jenayah seperti pecah rumah.

Katanya, langkah itu dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan kawasan perumahan serta memberi ketenangan kepada orang ramai ketika meninggalkan kediaman masing-masing. – Suara Timur


Tinggalkan komen