KUALA NERUS: Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ‘turun padang’ meninjau pelaksanaan projek pengawalan hakisan pantai di sekitar pantai Kuala Nerus, semalam.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Pengarah Unit Pembangunan Negeri Terengganu (UPEN), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak ke lokasi pada pukul 10 pagi.
Ketibaan baginda disambut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir Ts GS Osman Abdullah, Pegawai daerah Kuala Nerus, Ahmad Azizi Zulkifli dan Jurutera Awam Kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Ir Ts Nazman Mohamad.
Hadir sama menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Noor Mohd Suhaimie Ismail dan kakitangannya.

Media sebelum ini melaporkan masalah hakisan pantai di sekitar Batu Rakit, semakin membimbangkan dalam kejadian ombak besar pada Monsum Timur Laut (MTL) sejak Oktober lalu.
Dalam kejadian hakisan itu, beberapa gerai jualan dan jalan sejauh 150 meter di pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit turut musnah dihanyutkan ombak,

Sementara itu, Pengerusj Jawatankuasa
Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata,
lebih RM2.4 bilion diperlukan untuk membina benteng pemecah ombak di 34 pantai sepanjang 244 kilometer (km) di Terengganu bagi mengelakkan kejadian hakisan semakin serius.
Beliau berkata, kos membina benteng pemecah ombak kebiasaannya melibatkan antara RM5 juta hingga RM10 juta bagi setiap kilometer.

Sebelum itu, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kira-kira RM70 juta untuk membina benteng pemecah ombak luar pesisir bagi mengawal hakisan pantai yang semakin kritikal di pantai tersebut.
Kerja-kerja awal projek tersebut telah dilaksanakan kontraktor di kawasan pantai daerah itu sejak tahun depan.
Projek membina 16 buah pemecah ombak luar pesisir dan penyuburan pantai sejauh dua kilometer itu dijangka siap pada tahun 2027. – Suara Timur
Kredit Foto: UPDI