Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Polis mengadakan pemeriksaan mengejut ‘Spot Check’ terhadap murid di
Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Paka dekat sini sempena Program Kerjasama Strategik Pencegahan Jenayah, semalam.
Pemeriksaan mengejut itu diketuai Ketua Polis Daerah Dungun, Supt. Maizura Abdul Kadir dan disertai bersama pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun.
Menurut Maizura, program tersebut yang dianjurkan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bersama PPD Dungun sebagai langkah proaktif memperkukuh kawalan keselamatan dan ketenteraman persekitaran sekolah.
Katanya, program ini menjadi wahana menyampaikan nasihat dan panduan kepada pelajar berkaitan isu disiplin, buli, vandalisme, penyalahgunaan gajet serta gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan.

“Ia turut menyokong inisiatif penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ), Kor Kadet Polis dan Duta Sahsiah Murid sebagai ejen perubahan dalam membentuk komuniti sekolah yang selamat, beretika dan berdaya tahan.
“Sesungguhnya, program ini mencerminkan semangat kerjasama erat antara pasukan keselamatan dan institusi pendidikan, menjunjung tinggi gagasan keramat ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya pada program itu.
Turut hadir Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, ASP Mohd Azlan Md Yusoff dan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Yusma @ Abd Mubin Yusof @ Mustapar.
Maizura memberitahu, pda program itu, seramai 1,081 orang pelajar turut menyaksikan demonstrasi seni mempertahankan diri T-Baton oleh pasukan polis.
“Demonstrasi tersebut bukan sahaja mempamerkan kecekapan taktikal anggota, malah membangkitkan keyakinan awam terhadap keupayaan PDRM dalam menjaga keselamatan komuniti. – Suara Timur
