Negeri

Hukuman khidmat masyarakat 12 jam bagi kesalahan buang sampah kecil mulai Januari depan

PORT DICKSON – Perintah khidmat masyarakat selama 12 jam bagi pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam akan berkuat kuasa bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Dewan Negara telah meluluskan pindaan undang-undang berkenaan baru-baru ini yang dilihat penting untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bersih, bermula dengan perubahan sikap individu.

“Sesiapa yang membuang sampah dari kereta, membuang puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman atau pembungkus makanan di tempat awam akan didenda dengan memakai jaket khas berwarna hijau.

“Mereka akan menjalani khidmat masyarakat seperti mengutip sampah kecil di tempat awam, mencuci longkang serta mencuci tandas awam selama tempoh tidak melebihi 12 jam dalam tempoh enam bulan,” katanya pada Majlis Pelancaran Hari Cuci Malaysia Peringkat Kebangsaan sempena World Clean-up Day 2025 di Pantai Cahaya Negeri di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut beliau berkata, hukuman itu bersifat mendidik dan bukan untuk menghukum, dengan pelaksanaannya bergantung kepada keputusan Mahkamah Majistret, sama ada ia dilakukan dalam sehari atau dibahagikan kepada beberapa sesi, contohnya tiga sesi selama empat jam setiap satu.

Katanya, pelbagai notis dan pengumuman telah dibuat berkenaan perintah ini dan rakyat tidak boleh lagi memberi alasan tidak tahu.

“Korea, Jepun, Sweden, Singapura semuanya telah membuktikan keberkesanan pendekatan seperti ini.

“Maka, tiada lagi alasan selepas ini. Rakyat Malaysia sudah pergi sekolah bertahun-tahun tetapi masih gagal menjaga kebersihan. Perlu berubah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts