Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Dungun menggesa kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan progresif dan segera untuk mengkaji semula beberapa mekanisme pemantauan serta penguatkuasaan ke atas pemandu bas dan lori.
Ketua AMK Dungun, Syafiqah Nabihah Shamsul Bahri berkata, kemalangan yang melibatkan pemandu kenderaan berat bukan sesuatu yang baharu, namun ia seolah-olah berulang tanpa penyelesaian konkrit.
Menurutnya, dalan tragedi terbaharu, kemalangan sebuah bas yang meragut nyawa 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur–Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, pada pukul 1 pagi semalam.

Katanya, insiden menyayat hati ini sekali lagi membuka persoalan besar mengenai tahap keselamatan jalan raya, khususnya yang melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas.
Tambahnya, Kementerian Pengangkutan dan JPJ perlu mengambil langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk penambahbaikan sistem pemantauan latar belakang dan kesihatan pemandu kenderaan berat.
“Langkah lain, pemerkasaan program latihan keselamatan berkala kepada semua pemandu bas dan lori serta penggunaan teknologi seperti sistem brek kecemasan automatik (AEB), dashcam dan pemantauan masa sebenar.
“Pada masa sama, penguatkuasaan lebih tegas terhadap had laju dan masa operasi pemandu kenderaan berat.
“AMK Dungun percaya bahawa nyawa rakyat, terutamanya generasi muda yang menjadi aset masa depan negara, mesti dilindungi melalui dasar yang tegas, berkesan dan berpaksikan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Syafiqah Nabihah berkata, pihaknya turut menyeru semua pihak termasuk pemain industri pengangkutan, agar memikul tanggungjawab sosial dalam memastikan setiap perjalanan adalah selamat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan itu.
“Kami turut bersedih dan menzahirkan solidariti sepenuhnya terhadap seluruh warga UPSI dalam menghadapi detik sukar ini,” ujarnya. – Suara Timur