Negeri

Cari jodoh patuh syariah menerusi Portal Jodoh Darul Iman

KUALA TERENGGANU – Golongan bujang di Terengganu kini berpeluang mencari pasangan hidup secara patuh syariah menerusi Portal Jodoh Darul Iman yang mula dibuka kepada umum hari ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 500 pendaftaran menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, platform tersebut bukan seperti aplikasi cari jodoh biasa, sebaliknya dikawal ketat mengikut syariat Islam dan menitikberatkan adab dalam proses perkenalan antara lelaki dan wanita.

“Portal ini diwujudkan bagi memberi ruang kepada belia Islam di Terengganu mencari jodoh secara berhemah, bukan melalui aplikasi bebas yang membuka ruang kepada pergaulan tanpa batas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Portal Jodoh Darul Iman di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.

Maliaman berkata, pendaftaran dibuat secara percuma dan dibuka kepada lelaki serta wanita Muslim berusia 18 tahun ke atas.

“Mereka yang ingin memohon perlu dalam kalangan warganegara Malaysia dan mempunyai kaitan langsung dengan Terengganu sama ada dilahirkan, menetap atau berasal dari negeri ini.

“Hanya individu bujang dan ibu atau bapa tunggal yang belum berkahwin dibenarkan mendaftar. Semakan ketat akan dibuat bagi memastikan peserta benar-benar layak,” katanya.

Beliau berkata, portal itu dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Katanya, inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi kekeluargaan, mengurangkan gejala sosial dan menangani isu kelewatan berkahwin dalam kalangan belia.

Tambah beliau, status perkahwinan setiap peserta juga akan disahkan bersama JHEAT bagi mengelak penyertaan individu yang sudah berkahwin.

“Konsep portal berasaskan taaruf secara syarie dengan pemantauan berautoriti, selain menjamin keselamatan dan kerahsiaan maklumat pengguna.

“Tiada komunikasi bebas dibenarkan antara peserta. Semua interaksi tertakluk kepada garis panduan dan pemantauan pihak berwajib,” ujarnya.

Orang ramai yang berminat boleh mula mendaftar melalui www.jodohdaruliman.com bermula hari ini. – Sinar Harian

Related Posts