KUALA TERENGGANU: Nama ‘roti Israil’ yang sebelum ini tular di media sosial tidak mempunyai sebarang kaitan dengan negara haram Israel, sebaliknya diambil sempena nama pengasasnya, Allahyarham Israil Tafzul Hussain, seorang pembuat roti tradisional yang cukup dikenali masyarakat sekitar daerah ini sejak lebih tujuh dekad lalu.
Cucu kepada pengasas kedai berkenaan, Muhammad Farouq Mohd Rafi, 29 berkata, nama tersebut telah digunakan sejak tahun 1950 dan diwarisi turun-temurun dalam keluarga mereka.
Katanya, kedai roti itu mula beroperasi di Batu Buruk sebelum berpindah ke di Kampung Bukit Kubang Jambu dan terus menjadi antara kedai roti tradisional tertua di daerah Kuala Terengganu.
“Dulu orang panggil begitu (roti Israil) sebab nama datuk saya Israil. Lama-lama orang dah biasa, tapi bila orang luar dengar memang pelik.
“Ada orang luar yang bertanya, ada juga yang salah faham bila nampak nama ‘roti Israil’, tapi bila kami jelaskan, mereka faham dan sokong sebab ia nama atuk sendiri, bukan ada kaitan dengan isu sensitif.
“Bila kita terangkan, baru mereka faham ia nama orang, bukan negara,” katanya ketika ditemui di kedai berkenaan pada Rabu.
Farouq berkata, arwah datuknya yang berdarah campuran Arab-India memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan pada tahun 1950 dengan menjual roti di kampung sebelum membuka kedai sekitar tahun 1970an.
“Roti yang kami hasilkan dikenali sebagai roti bata, dibuat secara tradisional tanpa bahan pengawet.
“Bahan asas utama ialah tepung gandum, air, lemak sayur, garam dan gula. Itu sahaja,” katanya.
Ujarnya, pada awal pembuatan roti tersebut, mereka menggunakan dapur kayu bagi proses pembakaran sebelum beralih kepada penggunaan oven (ketuhar) moden.
“Kalau dulu, bancuhan tepung guna bunga untuk peram, tapi sekarang guna yis biasa. Walaupun cara berubah, rasa dan resepi tetap sama seperti zaman datuk saya,” katanya.
Kini, perniagaan itu diuruskan oleh enam adik-beradik termasuk Farouq selepas bapanya, Mohd Rafi, 61, diserang strok beberapa tahun lalu.
“Ayah masih bantu sedikit-sedikit, tapi kebanyakan kerja kami anak-anak yang urus.
“Kami buat sendiri dari uli tepung sampai bakar sebab roti ni tak tahan lama, tak guna pengawet,” katanya yang membuka kedai bermula jam 9 pagi hingga 11 malam.
Jelas Farouq, setiap hari mereka menghasilkan sekitar 20 hingga 30 biji roti pelbagai jenis seperti roti bata besar dan kecil, roti potong, roti sandwich, roti paun gula, roti inti kacang serta roti sekaya buatan sendiri.
“Kami jual terus di kedai, tak hantar ke luar sebab roti ni cepat keras. Kalau nak tahan lama kena ada bahan pengawet, tapi kami tak guna sebab nak kekalkan keaslian pembuatan dan rasa roti itu sendiri,” katanya.
Menurutnya, kedai tersebut menjual pelbagai jenis roti termasuk roti bata, roti potong, roti jari dan roti paung yang dijual pada harga antara RM1 hingga RM5.
Selain itu, Muhammad Farouq berkata turut menjual roti inti kacang serta roti sekaya buatan sendiri pada harga sehingga RM5 selain kek kuning dijual sekitar RM7 hingga RM7.50.
“Walaupun kos bahan mentah naik, kami kekalkan harga sebab pelanggan tetap masih ramai, terutama golongan tua yang sudah biasa dengan rasa dan keaslian roti ni,” katanya.
Farouq turut mengakui, pelanggan muda kini kurang mengenali roti tradisional tersebut namun masih ada permintaan daripada pelanggan tetap dan pengunjung luar yang tertarik selepas melihat perkongsian di media sosial.
Katanya lagi, arwah datuknya meninggal dunia pada 2005, ketika berusia 80 tahun dan resipi asli roti yang turut mendapat gelaran roti legend itu diwarisi keluarga mereka hingga kini.
“Kami bangga sebab resipi ni dah bertahan lebih 70 tahun dan kita akan pastikan ia terus mendapat sambutan pelanggan,” katanya. – Sinar Harian