KUALA TERENGGANU: Pengguna di Terengganu disarankan supaya berjimat dalam penggunaan air harian bagi mengelakkan bil melambung susulan pelarasan tarif yang berkuat kuasa sejak 1 Ogos lalu.
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, kenaikan tarif berkenaan hanya memberi kesan kecil kepada isi rumah biasa yang mempunyai empat hingga enam orang penghuni kerana purata penggunaan air masih di bawah 30 meter padu (m³) sebulan.
“Kalau rumah biasa, kenaikan sekitar RM20 sahaja. Sebagai contoh, bil rumah saya sebelum ini sekitar RM100, sekarang jadi RM121. Jadi, kenaikan ini tidak membebankan.
“Saya nasihatkan pengguna supaya memastikan penggunaan air tidak melebihi 35 meter padu, kerana jika lebih, kadar kenaikan boleh mencecah hampir 100 peratus,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas.My Kuala Terengganu di Pasar Payang pada Isnin.

Menurut Hanafiah, kadar baharu yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah kecil berbanding negeri-negeri lain, malah semakan tarif air tersebut dilakukan selepas 27 tahun tidak dinaikkan dan diyakini tidak membebankan pengguna.
“Untuk penggunaan di bawah 30 meter padu, Terengganu kekal antara negeri paling rendah dengan purata sekitar RM30.10 sahaja.
“Sebagai perbandingan, Kedah RM31, Pahang RM31.20, Kelantan RM31.50, Perlis RM32.70, Labuan RM33, Melaka RM35 dan Johor RM44.
“Bagi penggunaan di bawah 45 meter padu pula, Terengganu masih rendah pada kadar RM61.50 berbanding Labuan RM62.40, Melaka RM64.75, Selangor RM72.40 dan Johor RM91,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, hasil kutipan daripada tarif baharu itu akan digunakan bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan, termasuk bayaran caj elektrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta untuk menaik taraf infrastruktur bekalan air.
“Sebahagian hasil ini juga akan digunakan untuk membaiki kawasan kritikal bekalan air. Sebagai contoh, Kuala Nerus dikenal pasti sebagai antara lokasi utama yang akan diberi keutamaan, dengan peruntukan kira-kira RM20 juta tahun depan,” jelasnya.
Mengulas mengenai rungutan pengguna berhubung tekanan air rendah, Hanafiah memberi jaminan bahawa masalah tersebut akan ditangani secara berperingkat, seiring peningkatan hasil kutipan tarif baharu.
“Kita akan gunakan hasil tambahan ini untuk membaiki paip, tangki simpanan dan sistem pengagihan di kawasan-kawasan yang terjejas.
Ketika ini, tular di media sosial rungutan dalam kalangan pengguna yang tidak berpuas hati berhubung kenaikan ketara bil air, malah ada yang mendakwa penggunaan air kekal seperti biasa tetapi bil meningkat secara mendadak sehingga sekali ganda. – Sinar Harian