Negeri

Masjid baharu UiTM Bukit Besi bernilai RM6 juta siap 2027

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Universiti Teknologi Mara (UiTM)  Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi di sini, bakal dilengkapi kemudahan sebuah masjid baharu bernilai RM6 juta yang dapat menampung sehingga 1,500 jemaah dalam satu masa pada 2027.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, pembinaan masjid atau dikenali pusat hidayah bagi fasa satu yang bernilai RM2 juta dibina di atas atas tanah berkeluasan 0.61 hektar itu, merupakan hasil sumbangan orang ramai yang dikumpul sejak 2018.

“Kita menyasarkan pembinaan keseluruhan pusat hidayah ini menelan belanja kira-kira RM6 juta, merangkumi tiga fasa yang mana fasa pertama adalah untuk pembinaan ruang ibadah yang dilengkapi pelbagai kemudahan bertemakan minimalis.

SULTAN Mizan Zainal Abidin melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi di Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Fasa kedua dan ketiga pula akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk kelas pengajian, perpustakaan mini, dewan dan dijadikan pusat aktiviti keagamaan untuk kegunaan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Masjid UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi di sini, hari ini.

Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.

Baginda bersama dua anakandanya, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Seri Setia Mahkota Raja, Tengku Datuk Seri Muhammad Muaz, disambut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

GAMBAR ilustrasi Masjid UiTM Terengganu Kampus Bukit Besi, Dungun.

Shahrin berkata, masjid yang mengambil masa dua tahun pembinaan itu bukan hanya akan digunakan untuk kemudahan pelajar, malah akan dibuka kepada penduduk setempat dan orang ramai untuk menunaikan solat termasuk solat Jumaat.

“Ketika awal kampus UiTM ini beroperasi pada 2013 hingga 2016, pelajar terpaksa ke Masjid Bukit Besi dan Masjid Bandar Al Muktafi Billah Shah yang jaraknya lima hingga lebih 15 kilometer untuk solat jumaat, sebelum kami mendapat tauliah untuk menunaikan solat Jumaat di surau kampus ini. Selepas ini, Insya-Allah pelajar akan dapat beribadah di ruang yang lebih selesa.

“Pembinaan masjid ini juga akan menjadi mercu tanda baharu kawasan ini dan bukan menjadi tempat ibadah semata-mata tetapi juga pusat penyatuan masyarakat di sini,” katanya. – Suara Timur

Related Posts