Negeri

Kecurian di tapak ECRL membimbangkan, 32 kes sejak Jun

MARAN: Projek rel mega negara, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhadapan masalah keselamatan ketara berikutan beberapa siri kecurian kabel dan komponen yang melibatkan sistem elektrifikasinya.

Tapak projek di Pahang, Terengganu dan Kelantan merekodkan 32 kejadian kecurian antara Jun hingga 10 Okt lalu, dengan anggaran kerugian berjumlah kira-kira RM3 juta.

Pengarah Keselamatan CCC-ECRL Seksyen 13, Shi Liang Hui berkata, kes kecurian di beberapa lokasi di sepanjang jajaran ECRL di tiga negeri itu bermula selepas pemasangan sistem Komunikasi, Maklumat dan Isyarat (CIS) pada Mei lalu.

“Ia membimbangkan kerana ECRL merekodkan sembilan kes kecurian antara 1 Okt dan 10 Okt, termasuk dua kejadian yang dilaporkan di Maran minggu lalu.

“Sehingga kini Pahang merekodkan 24 kes, diikuti tujuh di Terengganu dan satu di Kelantan sejak Jun lalu. Kecurian dilapor siang dan malam,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak landasan kereta api di Kampung Luit di sini, hari ini.

Shi berkata insiden itu telah menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan kos pembaikan, keselamatan pekerja di tapak pembinaan, dan kemungkinan kelewatan kepada jadual ujian dan pentauliahan kereta api, yang dijangka bermula pada Jun 2026.

“Sesetengah bahan projek ECRL dibuat khas, jadi apabila komponen dicuri, ia boleh mengambil masa berbulan-bulan untuk mendapatkan alat gantian dari China.

“Setakat ini, pencuri menyasarkan tembaga daripada kabel atas dan tanah, serta peralatan pengubah.

“Apabila wayar talian atas terputus atau rosak, kami terpaksa menggantikan keseluruhan regangan kerana tiada penyambung untuk membaiki kabel,” katanya.

Sementara itu, Shi berkata, CCC-ECRL sudah melaksana beberapa langkah keselamatan sebagai tindak balas terhadap ancaman keselamatan, dengan harapan dapat mengekang kecurian.

“Kami melantik pengawal keselamatan pada Jun untuk memantau lokasi tertentu secara berkala dan memberikan maklumat terkini setiap jam kepada pihak atasan. Rondaan telah dipergiatkan di sepanjang jajaran dengan koordinasi rapat dengan polis terutama pada waktu malam.

“Televisyen litar tertutup berteknologi tinggi telah dipasang di kawasan berisiko tinggi terpilih, dan lebih banyak lagi akan ditambah di ketiga-tiga negeri. Mesyuarat pasukan petugas juga telah diadakan dengan polis daerah untuk mengenal pasti langkah keselamatan proaktif tambahan di lokasi yang terdedah kepada kecurian,” katanya.

Bulan lalu, CCC-ECRL melaporkan bahawa pencuri melarikan diri dengan kabel tembaga sepanjang 1,080 meter di tapak pembinaan antara Temerloh dan Bentong, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa projek mega itu mungkin menghadapi kelewatan.

Polis sejak itu menahan 10 individu, termasuk seorang warga asing, kerana disyaki mencuri kabel ECRL dalam serbuan berasingan di Temerloh dan Bentong yang mengakibatkan kerugian lebih RM800,000.

Projek ECRL ialah salah satu usaha infrastruktur pengangkutan terbesar di Malaysia, direka untuk menghubungkan pantai timur dan barat Semenanjung.

Landasan kereta api sepanjang 665km itu, yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Selangor, menghubungkan Kota Bharu ke Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak serta dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2027. – Harian Metro

Related Posts