KUANTAN: Seorang anggota komando dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ketika menjalani latihan di Pelabuhan Kuantan, di sini, ditemukan lemas, hari ini.
Mayat Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, ditemui jam 10 pagi tadi, terdampar di tebing berbatu kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata berdasarkan laporan ketika kejadian mangsa bersama tiga anggota komando melakukan latihan dan selam skuba di kawasan pelabuhan terbabit.
Menurutnya, mereka melakukan selaman dan turun ke dasar laut berpandukan tali keselamatan.
“Sejurus empat anggota terbabit melakukan selaman salah seorang mangsa dipercayai terlepas dari tali keselamatan dan dibawa arus.
“Kehilangan mangsa disedari apabila hanya tiga penyelam timbul ke permukaan selepas sesi latihan itu kira-kira jam 12.15 tengah hari, Khamis lalu.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan sejurus kejadian pasukan komando terbabit dengan latihan di kawasan itu berusaha mencari dan menyelamat mangsa tetapi gagal.
Mohd Adli berkata, polis menerima laporan mengenai kehilangan anggota komando terbabit pada jam 3.19 petang hari sama.
Susulan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat disertai polis, bomba dan tentera dilancarkan.
Katanya, ketika ditemui mayat mangsa dalam keadaan lengkap berpakaian dan bersama peralatan menyelam.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat.
Difahamkan mangsa bertugas di Rejimen 22, Kem Iskandar Mersing, Johor dan dijadualkan menjalani latihan di Kuantan antara 30 Jun dan 9 Julai. – Metro