Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) seorang tekong warga Thailand yang dilaporkan hilang di perairan Kemaman sejak lima hari lalu ditamatkan malam tadi selepas tiada petunjuk baharu ditemui.
Mangsa, Wongnguan Supot, 53, dipercayai hilang apabila bot yang dikemudinya mengalami kebocoran dan dimasuki air selepas dilambung ribut dalam kejadian pada jam 10 malam, 25 Jun lalu.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, keputusan penamatan operasi dibuat setelah pencarian menyeluruh di kawasan laut dan udara seluas 511 batu nautika persegi tidak menemui sebarang petunjuk.

“Walaupun operasi rasmi telah ditamatkan, rondaan dan pemantauan oleh Maritim Malaysia tetap akan diteruskan.
Kami juga bersedia mengaktifkan semula operasi sekiranya terdapat maklumat baharu yang boleh membantu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam usaha pencarian termasuk Jabatan Laut Malaysia (JLM), serta komuniti maritim yang tampil memberi kerjasama sepanjang tempoh operasi berlangsung.
Terdahulu, operasi tersebut telah digerakkan sejurus laporan kehilangan diterima dan melibatkan pelbagai aset laut dan udara dari Maritim Malaysia. – Suara Timur