Home NegeriAhli Majlis PBT bakal jayakan Bandar Pintar Kelantan

Ahli Majlis PBT bakal jayakan Bandar Pintar Kelantan

oleh suara timur

KOTA BHARU: Semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kelantan digesa memainkan peranan aktif bagi memastikan pelaksanaan inisiatif Bandar Pintar Negeri Kelantan dapat direalisasikan sepenuhnya bermula tahun 2026.

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, tahun 2026 telah ditetapkan sebagai tahun pelaksanaan sebenar agenda Bandar Pintar selaras dengan Blueprint Bandar Pintar Negeri Kelantan 2040.

“Setiap PBT telah diarahkan menyediakan dan melaksanakan Pelan Tindakan Bandar Pintar, dan tanggungjawab Ahli Majlis ialah memastikan perancangan ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang berimpak kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan Tahun 2026 di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

banner

Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada projek perintis yang praktikal, realistik dan boleh diukur keberhasilannya dalam memudahkan urusan masyarakat serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan PBT.

“Bandar Pintar bukan sekadar teknologi dan infrastruktur, tetapi perlu berteraskan nilai Islam, integriti dan kelestarian dalam membina kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa peranan PBT bukan hanya membangunkan kemudahan fizikal, sebaliknya membina peradaban masyarakat dengan menitikberatkan aspek akhlak, rohani dan pemikiran insan.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PBT yang menerima pengiktirafan antaranya Majlis Daerah Machang sebagai penerima Anugerah Khas Kerajaan Negeri Kelantan 2025, Majlis Daerah Kuala Krai sebagai Bandar Paling Bahagia Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Daerah Bachok sebagai Bandar Paling Mampan Peringkat Negeri Kelantan.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan dasar kerajaan negeri hanya dapat dicapai sekiranya PBT memberi perkhidmatan yang cekap, telus, mesra dan memudahkan urusan rakyat.

“Turunlah ke lapangan, dengar denyut nadi masyarakat dan jadilah pemudah cara kepada penyelesaian masalah rakyat,” katanya. – HarakahDaily

Tinggalkan komen