Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) Cawangan Chukai di sini berjaya memperoleh kutipan sebanyak RM276.15 hasil jualan barangan terpakai sempena Program Tadika Lestari E-Waste dan Kitar Semula, Rabu lalu.
Penolong Guru Besarnya, Azlinda Abd Aziz ketika dihubungi Suara Timur berkata, program anjuran Biro Keceriaan Tadika YIT Chukai diadakan selama tiga hari berakhir pada Rabu.
Katanya, program tersebut juga dimeriahkan dengan penganjuran pameran denggi, ceramah kesihatan, game dam ular, roda kepastian dan aktiviti jual beli barangan terpakai.

Menurutnya, hasil jualan ini akan dikumpul dan digunakan untuk penambahbaikan peralatan untuk kemudahan murid-murid Tadika YIT Chukai di Lot 144 Kampung Gong Limau, Chukai.
“Tadika YIT Chukai mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ibu bapa, guru dan kakitangannya yang sudi meluangkan masa, menyumbang tenaga dalam menjayakan program ini,” katanya.

Program bertemakan ‘Mari bersama-sama menjaga alam sekitar, Jom kitar semula’ mendapat sokongan 380 pelajar, ibu bapa, guru dan kakitangan Tadika YIT Chukai.
Ia juga mendapat kerjasama Pusat E-Waste Kemaman dan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

E-waste merupakan barangan elektrik dan elektronik yang telah rosak, tidak berfungsi atau lama atau usang seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, mesin basuh, peti sejuk dan pendingin hawa.
Di Malaysia, E-waste dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Alam Sekitar. – Suara Timur