Home NegeriKakak, abang lemas dan hilang depan mata

Kakak, abang lemas dan hilang depan mata

oleh suara timur

DUNGUN:  Adik kepada seorang mangsa lemas dan seorang lagi yang hilang, Nur Mashitah Shafie, 22 sempat menceritakan bagaimana kakak sulungnya, Nor Baizura, 39, dan abangnya, Mohd Fazir, 37, dihanyutkan arus ketika mandi di Pantai Sura Tengah di sini, pagi tadi..

Nur Masitah berkata, dia terlihat kakaknya terkapai-kapai sementara abangnya bergegas ingin membantu kakak sebaik sahaja menyedari kakak lemas.

Bagaimanapun, Nur Masitah berkata, kedua-dua mereka terus dihanyutkan arus kuat ke tengah laut lalu hilang dari pandangan.

Bagaimanapun, mayat Nor Baizura ditemui kira-kira pukul 10.54 pagi tadi, sementara Mohd Fazir dikhuatiri hilang dan sedang dalam proses pencarian oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

banner

Nur Mashitah berkata, Nor Baizura yang tinggal di Johor Bahru dan Mohd Fazir pula tinggal di Kuantan, Pahang, masing-masing pulang ke kampung mereka di Kampung Paya Balai Besar, Dungun di sini, sempena cuti sekolah.

Nur Mashitah berkata, sebelum kejadian, dia bersama empat adik beradik dan dua kakak ipar serta ibunya, Zaleha Hassan, 54, serta lapan anak saudaranya ke pantai berkenaan kira-kira pukul 7.30 pagi untuk berkelah.

Menurut Nur Mashitah, kakaknya itu mempelawa mereka mandi pantai sejak minggu lepas lagi, namun dia enggan kerana ombak masih lagi tinggi.

Nur Mashitah berkata, bagaimanapun, pagi tadi mereka bersetuju ke pantai berkenaan untuk berkelah dan bersetuju mandi kerana ombak tidak bergelora dan keadaan laut agak tenang.

Menurut Nur Mashitah, dia hanya menyedari kakaknya lemas selepas melihat tangan Nor Baizura terkapai-kapai.

Sehingga pukul 7 petang ini, pasukan SAR masih melakukan pencarian dan mangsa masih belum ditemukan.
 
Beliau berkata, jenazah kakaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, selepas selesai urusan bedah siasat. – Suara Timur

Tinggalkan komen