KOTA BHARU – Harga emas dunia mencatatkan penurunan ketara dalam tempoh dua minggu ini susulan gencatan senjata antara Iran dan Israel sekali gus menyebabkan kedai emas di sekitar bandar Kota Bharu diserbu orang ramai yang ingin mendapatkan barangan kemas.
Perkara itu diakui oleh peniaga kedai emas Mah Kampong Kito, Azuwadi Aman Razali, 39, yang memaklumkan bahawa harga emas mula menunjukkan penurunan sejak Ahad lalu.
“Boleh dikatakan setiap hari harga emas turun. Untuk hari ini sahaja, satu gram berharga RM432.35.
“Sepanjang Jun ini, harga emas paling murah dicatatkan ialah RM428.67 satu gram ketika bermulanya gencatan senjata antara Iran dan Israel,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut beliau, harga tertinggi yang direkodkan sepanjang Jun adalah RM447.42 satu gram.
Tambahnya, orang ramai mengambil kesempatan ke atas situasi ini untuk menambah aset masing-masing.
“Ketika harga emas melonjak sebelum ini, ramai penduduk Kelantan sudah mula melakukan pembelian panik kerana bimbang harganya terus meningkat.
“Sekarang apabila harga semakin murah, mereka berebut mendapatkan barangan kemas sama ada untuk dijadikan perhiasan mahupun simpanan aset.
“Di kedai kami, pelanggan bukan sahaja dari Kelantan tetapi juga dari seluruh negara, terutama ketika musim perayaan dan cuti umum,” ujarnya. – Sinar Harian