JERANTUT: Cuaca panas hampir sebulan selepas banjir di Ulu Tembeling menyebabkan paras Sungai Tembeling susut sehingga dataran pasir terbentuk di beberapa lokasi.
Keadaan itu menyebabkan sungai cetek dan menyukarkan pergerakan bot.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mat Daling, Wan Hamzah Wan Manah berkata, fenomena berkenaan adalah perkara biasa ketika musim kemarau.
Menurutnya, disebabkan paras sungai surut, beting pasir selebar hampir 100 meter dan sepanjang hampir 200 meter terbentuk di beberapa kawasan di sepanjang sungai itu.
“Namun, keadaan ini memberi ‘rezeki bermusim’ kepada penduduk kerana kawasan lubuk yang masih dalam dimanfaatkan untuk menangkap ikan.
“Lazimnya di kawasan lubuk itu Ikan seperti baung dan patin terperangkap akibat air surut.
“Bagaimanapun fenomena mengubah landskap apabila dataran pasir luas di tengah sungai mencetuskan pemandangan luar biasa,” katanya ketika dihubungi.
Wan Hamzah berkata, beting pasir itu juga terbentuk di beberapa kawasan lain di sepanjang Sungai Tembeling termasuk di Kampung Gusai, Kampung Bantal, Kampung Sat dan Kampung Pagi.
Penduduk Kampung Mat Daling, Nurul Natasha Abdul Aziz, 25, berkata fenomena berkenaan bersifat bermusim dan sering berlaku ketika cuaca panas berpanjangan.
Menurutnya, kejadian ketika ini lebih ketara berbanding musim kemarau sebelum ini.
“Cuaca kering berpanjangan akan mengubah alur sungai dan menyebabkan beting pasir terbentuk tetapi aliran utama sungai masih dalam,” katanya.
Nurul Natasha berkata, kejadian ini menyebabkan bot sering terkandas akibat paras air terlalu cetek.
“Bagaimanapun, sejak adanya jalan raya, pergerakan penduduk dari kawasan hulu ke Kuala Tahan tidak lagi terjejas,” katanya.
Nurul Natasha berkata, jika keadaan seperti itu berterusan, ekonomi penduduk dijangka terjejas kerana ikan dalam sangkar mati.
Menurutnya, cuaca panas juga menyebabkan peningkatan suhu air turut menjejaskan hidupan ikan di sungai. – Metro
