Negeri

RM5 juta kos bina semula mercu tanda, ‘Allah Peliharalah Terengganu’

KUALA TERENGGANU – Papan tanda ‘Allah Peliharalah Terengganu’ yang menjadi mercu tanda bandar raya ini sejak 34 tahun lalu akan dibina semula dengan kos RM5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata, mercu tanda tersebut terpaksa dirobohkan ekoran strukturnya didapati uzur dan kurang selamat pada 13 Mei lalu.

“Struktur mercu tanda ‘Allah Peliharalah Terengganu’ didapati melebihi jangka hayat reka bentuk dan terhakis akibat kesan pengaratan ketara disumbang oleh aliran udara air laut lepas.

“Ia terpaksa dirobohkan dan kerja-kerja selenggara dan menaiktaraf pencahayaan juga terpaksa dihentikan ekoran struktur platformnya didapati tidak lagi selamat,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini.

Terdahulu beliau menjawab soalan lisan Hilmi Harun (Pas – Manir) yang ingin mengetahui status dan kos baik pulih mercu tanda terbabit yang terletak di Bukit Besar di sini. – Kosmo

Related Posts