KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan notis ke atas sebuah syarikat berhubung pemasangan palang parkir yang didirikan tanpa kebenaran di kawasan Pulau Warisan di sini.
Notis itu dikeluarkan dalam operasi jam 9.45 malam Sabtu, susulan penularan video di media sosial hari sama yang mencetuskan reaksi orang ramai kerana dipercayai mengehadkan laluan ke kawasan tersebut.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Jusman Ibrahim berkata, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
“Saya difahamkan palang tersebut dipasang sebagai halangan kepada orang ramai daripada memasuki kawasan persendirian (tanah milik).
Dalam perkembangan sama, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa merujuk sumber rasmi MBKT bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.
Difahamkan, tanah di kawasan Pulau Warisan merupakan milik Lembaga Tabung Amanah Warisan (LTAWNT) yang dipajak kepada syarikat ELCCA Properties Sdn Bhd selama 30 tahun bermula 2021.
Sumber sama menyatakan, pelarasan mengenai perkara itu telah dibuat bersama penjaja dan masih tertakluk kepada proses Kebenaran Merancang (KM).
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 37 saat di media sosial memaparkan empat palang dipasang di pintu masuk dan keluar Pulau Warisan sehingga menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.
Kebanyakan pengguna berpandangan tindakan itu menyukarkan pengunjung yang mahu beriadah dan berkunjung di kawasan tumpuan awam tersebut.
Selain itu, ada juga yang menyifatkan tindakan memasang palang tersebut menyukarkan kemasukan pengunjung sekali gus merugikan peniaga kecil yang berniaga di kawasan itu. – Sinar Harian