Negeri

Khairul lelong durian RM50 tiga bakul

JITRA: Lambakan durian ketika ini menyebabkan peniaga, Khairul Anuar Ahmad, 48, terpaksa melelong raja buah itu dengan harga murah setiap hari di gerainya berhampiran stesen minyak Kubang Lembu, di sini.

Tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengelak buah yang ada tidak habis dijual serta rosak.

Khairul Anuar atau lebih dikenali sebagai Harun Buah Jitra berkata, setiap hari dia terpaksa melelong buah durian kampung atau kahwin sekitar tiga bakul dengan harga RM50 anggaran sekitar lebih 15 kilogram (kg) pelbagai saiz.

Katanya, lelongan hanya dibuat pada waktu petang ketika orang balik kerja bagi membolehkan semua golongan merasai keenakan durian ketika waktu musimnya.

“Adakalanya saya berjaya menjual sehingga 10 tan sehari dalam tempoh dua jam sahaja, Alhamdulillah, permintaan yang diterima sangat memberangsangkan.

“Sekarang ni banyak buah durian kampung dari Balik Pulau di Pulau Pinang dan Perak.. Apabila terlampau banyak, ia menjadi lambakan buah.

“Disebabkan itulah, saya menjual buah durian kampung ini secara lelong untuk menghabiskan stok dan orang ramai tak kira bangsa datang membeli di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Khairul Anuar berkata, ramai dalam kalangan pelanggannya juga turut melakukan infaq untuk disedekahkan kepada orang ramai yang kurang berkemampuan.

Selain itu, dia juga turut bersedekah kepada rumah anak yatim atau badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, setiap hari dia akan mengambil stok durian di Pulau Pinang atau Perak sekitar lapan atau 10 tan untuk jualan di gerainya itu.

“Kalau pelanggan beli banyak, kami akan beri buah yang lebih dengan niat hanya untuk tumpang kenduri atau sedekah.

“Selain itu, kami turut menjual durian jenis lain iaitu IOI, musang king, duri hitam, udang merah, D2 dan D24 dengan harga yang berpatutan dan lebih murah.

“Kebanyakannya buah durian yang kami jual di sini adalah buah tempatan manakala sebahagian kecilnya diimport dari negara jiran,” katanya. – Harian Metro

Related Posts