Home Negeri401,000 kenderaan masuk Terengganu sempena Aidiladha, cuti sekolah

401,000 kenderaan masuk Terengganu sempena Aidiladha, cuti sekolah

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Sebanyak 401,000 kenderaan dijangka masuk Terengganu ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan cuti persekolahan yang bermula Jumaat ini sehingga 3 Jun depan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata jumlah tersebut melibatkan kenderaan yang menggunakan jalan persekutuan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menurutnya, jangkaan itu dibuat berdasarkan rekod pemantauan tahunan yang dilakukan secara kolaboratif bersama LPT2 berdasarkan data dan rekod tahunan.

banner

Katanya, jumlah peningkatan aliran trafik ini dijangka berlaku di LPT2 dan jalan-jalan utama di negeri itu.

“Purata kemasukan trafik harian pula dianggarkan sebanyak 33,000 hingga 34,000 kenderaan sepanjang tempoh itu,” katanya

Mohd Khairi berkata demikian selepas merasmikan Program Transformasi Pelajar Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah @ Kamal Mohamed dan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman Tengku Shahrir Tengku Dahlan.

Beliau berkata, polis Terengganu akan melaksanakan Op Lancar secara menyeluruh di lokasi-lokasi panas dan kawasan dijangka mengalami pertambahan kenderaan dalam tempoh perayaan.

Tambahnya, seramai 500 anggota dan pegawai polis dari semua daerah akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik terkawal sepanjang tempoh perayaan itu.

Selain itu, Mohd Khairi berkata, polis Terengganu merekodkan empat kes buli membabitkan pelajar di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding 18 kes sepanjang tahun lepas.

Katanya, empat kes buli itu melibatkan tiga murid sekolah rendah manakala satu lagi membabitkan pelajar sekolah menengah.

“Sementara itu pada tahun lepas pula 13 kes direkodkan melibatkan pelajar sekolah menengah dan lima kes lagi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT),” ujarnya. – Suara Timur

Tinggalkan komen