Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu dijangka meningkat antara 56,000 hingga 66,000 sehari sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula 19 Mac hingga 24 Mac depan,
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pihaknya turut menjangkakan sebanyak 300,000 kenderaan akan masuk ke negeri ini dalam tempoh enam hari tersebut yang juga merupakan tempoh Op Selamat 26/2026.
“Kenderaan ini dijangka masuk ke negeri ini melalui ‘pintu masuk’ utama negeri di daerah Kemaman dan Besut serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN
“Seramai 500 anggota dan pegawai termasuk 385 anggota trafik akan bertugas sepanjang tempoh Op Selamat bagi memastikan kelancaran jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena musim perayaan Aidilfitri yang disempurnakan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Terengganu, Maliaman Kassim, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu, Suzana Abu Bakar, Ketua Polis Daerah Kemaman, Mohd Razi Rosli dan pegawai serta anggota Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
Mohd. Khairi berkata, pihaknya akan turut memberi fokus dan meningkatkan pemantauan serta kawalan di 20 lokasi ‘blackspot’ dan 23 lokasi ‘hotspot’ yang telah dikenal pasti sering berlaku kemalangan tinggi dan kesesakan, setiap kali musim perayaan.

“Lokasi ‘blackspot’ merupakan kawasan yang sering berlaku kemalangan maut manakala lokasi ‘hotspot’ pula merupakan kawasan yang sering berlaku kesesakan.
“Kawasan ‘blackspot’ melibatkan masing-masing empat lokasi di daerah Besut dan Marang, Kuala Terengganu dan Setiu masing-masing tiga lokasi serta masing-masing dua lokasi di daerah Kemaman, Hulu Terengganu dan Dungun,” katanya.
Menurutnya, kawasan ‘hotspot’ pula melibatkan masing-masing lima lokasi di Kuala Terengganu dan Besut; Kemaman, Dungun dan Marang masing-masing tiga lokasi serta Hulu Terengganu dan Setiu juga masing-masing mencatatkan dua lokasi.
“Enam punca berlaku kemalangan yang dikenal pasti ialah menggunakan telefon bimbit ketika memandu; memotong di garisan berkembar; cuai ketika keluar dan masuk simpang; mengekori kenderaan terlalu rapat; terbabas ketika membuat pusingan U dan terbabas sendiri,” katanya. – Suara Timur
