KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu tahan dua bot penumpang kerana gagal mempamerkan lesen sebagaimana diwajibkan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dalam Operasi Iman yang dijalankan di perairan Kuala Besut, semalam.
Penahanan dua bot terbabit dilakukan bot PERKASA 48 pada 10.51 pagi dan 12.18 tengah hari di 11.3 dan 11.4 batu nautika di timur laut muara Kuala Besut.
Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, kedua bot terbabit ditahan ketika sedang beroperasi dengan membawa 17 orang pelancong tempatan dan luar negara.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati sebuah daripada bot berkenaan juga tidak mempunyai nombor pendaftaran pada badan bot.
“Kedua tekong warga tempatan bersama seorang kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pos APMM Besut untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya.
Beliau menegaskan, pihaknya memandang serius pengendalian bot penumpang yang tidak mematuhi peraturan keselamatan.
Menurutnya, kegagalan mempamerkan lesen dan beroperasi tanpa dokumen yang sah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan penumpang.
“APMM akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan terutama menjelang musim cuti persekolahan dan cuti umum,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pengusaha bot penumpang supaya memastikan dokumen lesen yang sah dipamerkan dengan jelas, menyediakan jaket keselamatan yang mencukupi dan semua aspek keselamatan dipatuhi.
APMM menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkenaan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-622 4357. – Harian Metro