Mahkamah dan Jenayah Negeri

Polis Kemaman keluar 14,027 saman pelbagai kesalahan

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Polis mengeluarkan 14,027 saman melibatkan pelbagai jenis kesalahan dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding 14,794 saman dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, jumlah saman yang dikeluarkan itu menunjukkan penurunan 767 saman atau 5.18 peratus.

Menurutnya, saman kesalahan trafik menurun 1,453 saman bersamaan 35.78 peratus iaitu 2,607 kes berbanding 4,060 masa yang sama tahun lalu dan saman  kesalahan isyarat lalu lintas 686 saman bersamaan 6.39 peratus dengan 11,420 kes berbanding 10,734 tahun lalu.

“Antara kesalahan tertinggi dicatat sepanjang tahun ini, pandu laju 10,713 saman, halangan lalu lintas (707 saman), kemalangan 550 saman, tidak pakai topi keledar 358 saman, kesalahan nombor pendaftaran 329 saman).

“Kesalahan lain, tiada lesen memandu 312 saman, lesen kenderaan motor tamat tempoh 222 saman, tiada insuran pelindungan 128 saman dan lesen memandu tamat tempoh 95 saman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Suara Timur selepas Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 218 tahun 2025 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di Dewan Kompleks Perumahan PDRM Bukit Mentok,, di sini, hari ini.

MOHD Razi Rosli menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota IPD Kemaman sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 218 tahun 2025 Peringkat IPD Kemaman di Kemaman, hari ini.
MOHD Razi Rosli menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota IPD Kemaman sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 218 tahun 2025 Peringkat IPD Kemaman di Kemaman, hari ini.

Seramai 25 orang menerima sijil penghargaan sempena majlis tersebut.

Ujar Mohd Razi, indek jenayah juga menunjukkan penurun 44.0 peratus sepanjang Januari hingga Mac tahun ini dengan kekurangan 40 kes iaitu 51 kes tahun ini berbanding 91 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Jenayah curi turun 50 peratus dengan 22 kes berbanding 44 kes, pecah rumah 12 kes berbanding 31 kes, curi motorsikal 4 kes berbanding 6 kes tahun lalu,’ katanya.

Sementara itu dalam ucapannya, Mohd Razi berkata, anggota dan pegawai polis perlu saling mengeratkan silaturahim, memohon kemaafan dan memperkukuhkan ukhuwah antara satu sama lain sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

MOHD Razi Rosli menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi Persatuan Pesara Polis Terengganu Cawangan Kemaman, Mat Yazit Deraman sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 218 tahun 2025 Peringkat IPD Kemaman di Kemaman, hari ini.
MOHD Razi Rosli menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Kemaman, Mohd Razaki Manan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke 218 tahun 2025 Peringkat IPD Kemaman di Kemaman, hari ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh umat Islam dan masyarakat Daerah Kemaman, khususnya anggota PDRM yang bertugas tanpa mengira masa demi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua agar sentiasa berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Mereka yang akan meninggalkan rumah, pastikan segala langkah keselamatan diambil bagi mengelakkan kejadian jenayah.

“IPD Kemaman akan terus komited dalam menjalankan tugas menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Kami sentiasa bersedia untuk memastikan masyarakat dapat menyambut lebaran dalam suasana aman dan harmoni.

“Marilah kita menyambut hari raya dengan penuh kesyukuran, keinsafan, dan semangat perpaduan. Semoga Syawal ini membawa kebahagiaan dan keberkatan kepada kita semua,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts