HULU TERENGGANU – Kegigihan seorang anak muda dari Kampung Basung di sini mengusahakan ikan kelah hiasan membuahkan hasil apabila berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk China, Hong Kong dan Thailand.
Bermula sekadar minat terhadap ikan sungai, Muhammad Jailani Mohd Sabri, 25, kini mampu tersenyum apabila ikan kelah merah dipelihara untuk jualan ikan hiasan telah melebihi 500 ekor sekali gus menjadi antara sumber pendapatannya.
Menurut Jailani, minatnya bermula sejak kecil apabila sering mengikuti bapanya menangkap ikan di Tasik Kenyir dan kawasan sungai sekitar kampung.
“Saya belajar sampai Tingkatan Dua sahaja, lepas tu tolong ayah bawa bot dan dah biasa dengan sungai serta ikan. Pada tahun 2017, saya mula cari ikan kelah sendiri di kawasan sekitar dan mula peliharaan untuk dijual kepada pembeli tempatan.
“Tapi disebabkan masalah kesihatan, saya berhenti seketika selama lima tahun dan mula menceburi semula bidang ini pada 2023 dengan membina akuarium sendiri,” katanya ketika ditemui di Kampung Basung di sini pada Isnin.
Jelas Muhammad Jailani, perniagaannya itu semakin berkembang selepas dibantu abang iparnya, Muhamad Ridhuan Abd Rahim, 31.
“Untuk kos elektrik dan makanan ikan agak besar, sekitar RM300 sebulan bagi elektrik dan RM200 hingga RM300 untuk palet ikan. Itu belum termasuk kos penjagaan dan rawatan penyakit.
“Untuk air, kami guna air bukit semula jadi. Bila musim tengkujuh, kami guna air paip tapi perlu tapis guna penapis anti-klorin,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Riduan berkata, ikan kelah merah Tasik Kenyir merupakan spesies paling bernilai tinggi untuk pasaran hiasan dan komersial.
“Untuk pasaran China, ikan ini kami berjaya eksport ke Guangzhou, Yunan, Hubei. Selain itu, ia juga telah memasuki pasaran Hong Kong dan Thailand.
“Saiz yang biasa dieksport antara 15 hingga 60 sentimeter dengan harga antara RM150 hingga RM2,000 seekor bergantung kepada kualiti.
“Biasanya, setelah sampai ke sana, ‘tuan baharu’ akan menyesuaikan ikan dengan persekitaran baharu dan warna ikan kelah merah ini akan lebih menyerah,” katanya.
Menurutnya, dalam sebulan, sekitar 100 hingga 200 ekor ikan berjaya dijual ke pasaran luar dengan penghantaran transit di Kuala Lumpur sebelum dihantar ke negara pembeli.
“Bila dapat eksport ikan jauh memang puas hati tapi risikonya pun tinggi. Pernah kawasan peliharaan ini dilanda banjir pada tahun lalu dan kesemua ikan lari.
“Waktu itu kami alami kerugian hampir RM10,000. Selain itu, kami juga pernah berdepan kerugian kerana penyakit fungus dan ‘drop eye’,” katanya.
Menurut Muhamad Riduan, ikan kelah merah yang dipelihara diberi makan palet, anak udang, tumbuhan dan buah-buahan, selain memerlukan penjagaan air yang rapi dengan penukaran air dua kali sehari bagi ikan baharu atau sekurang-kurangnya seminggu sekali.
“Kalau ikan dalam keadaan tertekan, ia akan kurang makan dan tidak aktif. Tempoh penghantaran ke China sekitar 24 jam. Jadi, kita kena pastikan ia betul-betul sihat sebelum dieksport,” ujarnya.
Ridhuan berkata, selain menjual secara langsung, mereka turut memasarkan ikan kelah secara dalam talian melalui platform media sosial seperti TikTok (Kelah Kenyir dan RiEZ Aquatic) serta Facebook M Jailani Kenyir. – Sinar Harian