Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) menyalurkan peruntukan RM500,000 kepada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bagi melaksanakan projek cadangan tapak kenderaan rekreasi (RV) di daerah ini.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Fadli Yusof Zakaria berkata, penyediaan tapak RV ini merupakan satu lagi usaha berterusan di bawah inisiatif PLANMalaysia untuk memperkukuh perancangan dan pembangunan kawasan rekreasi di negara kita.
“Projek ini dilaksanakan selaras dengan garis panduan perancangan kawasan rekreasi, yang menjadi panduan utama dalam memastikan setiap pembangunan rekreasi dilaksanakan secara terancang, selamat dan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian tapak kenderaan rekreasi di Telaga Simpul, Pantai Marina, Teluk Kalong
di sini, hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatakuasa Infrastuktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Datuk Hanafiah Mat.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan dan Pengurus Operasi Nomadix Camper Park, Hamdan Abu Bakar.

Fadli Yusof memberitahu, inisiatif penyediaan tapak RV ini bertujuan menyediakan kemudahan mesra pelancong dan keluarga khususnya kepada pengguna kenderaan rekreasi atau caravan yang kini semakin mendapat sambutan di Malaysia.
“Selain memberi pilihan gaya pelancongan baharu, ia juga mampu merancakkan aktiviti ekonomi tempatan, terutamanya kepada komuniti setempat yang terlibat dalam sektor perniagaan kecil, inap desa dan perkhidmatan pelancongan,” katanya.
Fadli Yusof menambah, projek ini adalah hasil beberapa siri perbincangan dan mesyuarat bersama Ibu Pejabat PLANMalaysia, PLANMalaysia Negeri Terengganu dan MPK, bagi memastikan reka bentuk, fungsi serta pelaksanaan tapak ini benar-benar memenuhi keperluan semasa dan potensi jangka panjang kawasan pantai ini.

merancakkan aktiviti ekonomi tempatan,
Beliau berharap dengan peruntukan ini, kemudahan yang dibangunkan dapat memberi manfaat besar kepada penduduk setempat serta menjadi contoh kepada pelaksanaan projek seumpamanya di negeri-negeri lain.
“Besar harapan kami agar selepas ini banyak lagi peruntukan pembangunan, pelancongan atau pemuliharaan baharu diluluskan di Terengganu dan pihak kerajaan negeri akan membantu sebaik yang mungkin bagi menjayakan pelaksanaannya,” katanya.
Sementara itu, Hanafiah berkata, MPK amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama PLANMalaysia dalam menjayakan cadangan pembangunan tapak RV di kawasan yang strategik ini.

Selain di Pantai Telaga Simpul ini, katanya, beberapa tapak RV lain juga sedang dirancang dan dibangunkan di lokasi tumpuan pelancong seperti Taman Awam Kerteh.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada langkah untuk mewujudkan rangkaian lokasi rekreasi berkualiti di sepanjang pesisir pantai Terengganu, yang berpotensi menarik pelancong domestik dan antarabangsa,” ujarnya.
Ujarnya, pembangunan kawasan rekreasi ini bukan sekadar menyediakan ruang untuk beriadah, tetapi lebih daripada itu.
Tambahnya, ia merupakan simbol keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kualiti hidup masyarakat.

“PLANMalaysia sentiasa menekankan pendekatan perancangan berasaskan komuniti, agar setiap projek yang dirancang benar-benar memberi nilai tambah kepada rakyat, memelihara alam sekitar, dan menyumbang kepada kesejahteraan bandar serta luar bandar.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak MPK atas komitmen tinggi dalam memastikan projek ini dapat direalisasikan. Tidak lupa juga kepada semua agensi dan jabatan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya.
Hanafiah berkata, tapak RV di Pantai Telaga Simpul ini akan menjadi mercu tanda rekreasi baharu daerah Kemaman, sekaligus memperkukuh imej Terengganu sebagai negeri yang kaya dengan tarikan pelancongan alam semula jadi dan berpotensi tinggi dalam sektor pelancongan mapan.

Sementara itu, pemilik Motorhome, Afandi Aziz, dari Kuala Terengganu berkata, suasana di sini amat baik di antara camp site yang pernah dikunjungi kerana mempunyai permandangan muara sungai yang indah.
Seorang lagi pengunjung dari Kelab Camper Crew Pahang, Muhammad Rizal Muhammad Nor berkata, tapak ini walaupun masih baharu tetapi ia sesuai untuk aktiviti ‘camping’ bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Bagi memeriahkan lagi suasana tapak ini, ia perlu menambahbaik dari segi pengcahayaan dengan memasang lebih banyak lampu supaya ia kelihatan cerah dan ceria pada waktu malam,” katanya. – Suara Timur
