Negeri

PGA serbu lombong emas haram, 11 individu ditahan di Gua Musang

GUA MUSANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu kegiatan melombong emas secara haram dan merampas pelbagai peralatan membabitkan nilai RM520,000 di Sungai Kelaik, di sini, awal pagi semalam.

Serbuan yang dilakukan Batalion 8 jam 4 pagi menerusi Op Bersepadu Khazanah itu turut menahan 11 individu termasuk pemilik lombong berusia antara 21 hingga 43 tahun.

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju, berkata serbuan dilakukan hasil risikan yang dilakukan pihaknya.

“Hasil pemeriksaan mendapati kegiatan melombong emas dilakukan oleh dua lelaki tempatan, seorang lelaki Orang Asli dan tujuh lelaki serta seorang wanita warga Indonesia berusia 21 hingga 43 tahun.

“Kesemua mereka gagal menunjukkan lesen perlombongan emas yang sah. Tiga daripada mereka iaitu warga Indonesia yang ditahan didapati tinggal di Malaysia melebihi tempoh, manakala lima yang lain tiada dokumen.

“Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang didapati sebagai pemilik lombong haram turut ditahan.

“Kita merampas semua peralatan dan mesin jentera seperti sebuah jentera berat ‘excavator’, sebuah mesin pam air dan beberapa lagi peralatan yang digunakan untuk melombong membabitkan nilai rampasan RM520,000,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Enakmen Mineral 2001 serta Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Kelantan dan IPD Gua Musang untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Harian Metro

Related Posts