Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan Operasi Gerak Kenderaan Bermotor di Jalan Kuantan – Kemaman berhampiran Kawasan Perindustrian Jakar di sini hari ini.
Operasi ini bertujuan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan bermotor, khususnya dalam memastikan pematuhan terhadap standard pelepasan asap hitam, gas dan bunyi bising yang ditetapkan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, fokus utama operasi adalah membendung pencemaran udara akibat pelepasan kenderaan, terutamanya di kawasan bandar.
“Sehingga Mac 2025, menerusi pelaksanaan Ops Gerak di seluruh negara, sebanyak 90,024 buah kenderaan telah diperiksa. Daripada jumlah ini, 248 tawaran kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.
Nik Nazmi berkata, kementeriannya melelui JAS turun padang bagi meninjau secara langsung pelaksanaan pemantauan dan persampelan kawalan kualiti bahan api, khususnya diesel Euro 5, di stesen minyak berhampiran lokasi operasi.
Persampelan ini dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol dan Diesel) 2007 (Pindaan). Penggunaan diesel Euro 5 yang diperkenalkan sejak April 2021 mencerminkan komitmen berterusan negara dalam penyediaan bahan api berkualiti tinggi sebagai langkah menangani pencemaran udara yang berpunca daripada bahan api berkualiti rendah.
Dalam operasi itu, seramai 23 pegawai penguatkuasa daripada JAS Terengganu dan JAS cawangan Kemaman telah terlibat. Sebanyak 21 buah kenderaan telah diperiksa dan satu notis arahan kompaun telah dikeluarkan.
Operasi ini turut mendapat kerjasama daripada polis trafik IPD Kemaman bagi memastikan kelancaran pelaksanaan operasi di lapangan.
Sebanyak 8 buah lori disel, dua buah lori petrol, tiga van petrol dan tujuh motosikal dikeluarkan notis di bawah 48A1 dan 48A Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987. – Suara Timur