KUALA TERENGGANU: Lelaki Islam di negeri ini yang meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan munasabah boleh didenda maksimum RM3,000, selain penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hukuman itu selaras pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016 yang mula berkuat kuasa selepas digubal beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, sebelum pindaan dibuat, hanya mereka yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa agama.
Dengan pindaan ini, katanya jika tidak hadir sekali pun individu terbabit sudah boleh dikenakan tindakan mengikut perundangan ditetapkan.
“Peringatan ini penting kerana solat Jumaat bukan sekadar syiar, tetapi juga lambang ketaatan umat Islam.
“Justeru, hukuman hanya akan dikenakan sebagai jalan terakhir sekiranya peringatan tidak diendahkan individu yang culas menunaikan kewajipan itu,” katanya.
Muhammad Khalil berkata kain rentang peringatan mengenai perkara itu akan dipasang di pekarangan masjid seluruh negeri bertujuan memberi amaran jelas mengenai kewajipan menunaikan solat Jumaat.
Dalam masa sama, katanya peringatan juga bertujuan menyedarkan orang ramai tentang undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Terengganu.
Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam di negeri ini melihat pelaksanaan undang-undang itu sebagai usaha mendidik dan menjaga martabat agama Islam khususnya dalam membentuk kesedaran generasi muda.
“Tindakan penguatkuasaan boleh diambil melalui laporan orang awam atau menerusi rondaan serta operasi bersepadu pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Seksyen ini sudah ada masa permulaan undang-undang digubal pada tahun 2001, kemudian berlaku pindaan pada 2016,” katanya. – Berita Harian