Mahkamah dan Jenayah Negeri

Op Taring Charlie: PGA rampas 81 kotak mercun, bunga api bernilai RM202,000

MARANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 81 kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM 202,000 dalam Op Taring Charlie  di  Kampung Paya Resak, Bukit Payung, dekat sini, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rampasan tersebut hasil serbuan anggota Batalion 9 PGA dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sebuah rumah di kampung itu pada pukul 11.30 pagi.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan setelah rumah tersebut disyaki tempat penyimpanan mercun dan bunga api secara haram.

SEBAHAGIAN daripada mercun dan bunga api yang dirampas dalam Op Taring Charlie di  Kampung Paya Resak, Bukit Payung, Marang, semalam.

“Pemilik rumah terbabit gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan barangan tersebut (mercun dan bunga api),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau memberitahu, mercun dan bunga api yang dirampas itu dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan pengedaran mercun dan bunga api daripada terus berleluasa di dalam negara,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts