Home Mahkamah dan JenayahAhli perniagaan rugi hampir RM3 juta digertak sindiket ‘phone scam’

Ahli perniagaan rugi hampir RM3 juta digertak sindiket ‘phone scam’

oleh suara timur

KUALA LUMPUR:  Ahli perniagaan kerugian hampir RM3 juta selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ menyamar polis mendakwa terbabit kes pengubahan wang haram.


Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, lelaki berusia 64 tahun itu menerima panggilan telefon daripada ahli sindiket yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Uptown Petaling Jaya dan Timbalan Pendakwa Raya.

Menurutnya, dalam perbualan itu mangsa dikatakan terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan bagi menyelesaikan kes itu, mangsa perlu memastikan akaun bank miliknya mempunyai sebanyak RM2,707,965.

“Bagi tempoh lima bulan, bermula September tahun lalu hingga awal bulan Januari tahun ini, mangsa juga tidak dibenarkan untuk membuat sebarang transaksi ke akaun bank lain melainkan ke nombor akaun yang diberikan suspek.

banner

“Terdapat 55 transaksi dalam talian dan deposit secara tunai dilakukan mangsa ke lima akaun bank yang diberikan suspek kononnya bagi menyelesaikan kes itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, segala urusan dilakukan melalui panggilan telefon dan mangsa juga tidak dibenarkan memeriksa transaksi akaun banknya sepanjang tempoh itu.

Katanya, mangsa menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan agensi berkaitan dan membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu semalam.

“Justeru, masyarakat dinasihati supaya peka dengan sebarang panggilan telefon yang diterima dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai apa yang dinyatakan oleh pemanggil.

“Semakan juga boleh dibuat melalui pihak berkuasa berkait sebarang dakwaan yang dibuat oleh pemanggil bagi mengelakkan menjadi mangsa kepada sindiket penipuan melalui panggilan telefon,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Metro

Tinggalkan komen