Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Impian seorang pengurus restoran makanan segera merasai kemeriahan program RXZ Members 8.0 di Kuala Nerus tidak kesampaian apabila maut
selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 258.6 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Rawat dan Rehat (R&R) Perasing di sini pagi ini.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi
ketika mangsa Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang berkonvoi bersama enam penunggang motosikal lain dari Kuala Lumpur.
Siasatan awal polis mendapati, motosikal ditunggang mangsa dilkatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di tengah lebuh raya.
Akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak sejauh beberapa meter dan terjatuh ke dalam longkang di tengah lebuh raya.
Keadaan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kedua belah kaki.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.
Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur
