Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Wajah 1,170 ketua isi keluarga (KIR) mangsa banjir di daerah ini terpancar kegembiraan apabila menerima sumbangan sempena menyambut perayaan Aidilfitri, hari ini.
Mereka menerima bantuan wang ihsan mangsa banjir Monsun Timur Laut (MTL) Tahun 2024/2025 daripada Kerajaan Persekutuan.
Majlis agihan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu (PPPNT) di Kemaman Arena Square, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jalan Padang di sini.
Bantuan ini bertujuan meringankan beban keluarga mangsa banjir dalam usaha pemulihan akibat bencana yang menimpa daerah ini tahun lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kemaman Kapten (PA) Mohd. Suhaimi Awang @ Muhammad berkata, agihan bantuan ini adalah pembayaran fasa pertama yang melibatkan 1,170 KIR dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Menurutnya, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM2,927,000.00 bagi 2,927 KIR yang terjejas akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) Tahun 2024/2025 yang lalu.
“Bagi mangsa banjir yang belum menerima, pihaknya akan memaklumkan dengan kadar segera apabila mendapat pengesahan daripada PPPNT,’ katanya kepada Suara Timur.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah PPPNT, Mohd. Zaid Mohamed Yusoff, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat), Abdul Hakim bin Abdul Latiff.


Saorang penerima, Arifin Ismail, 63, dari Perumahan Rumah Mampu Milik, Teluk Kalong, Kijal melahirkan rasa gembira dengan bantuan ini.
“Terima kasih kerajaan diatas bantuan ini, dengan bantuan ini dapat membuat persiapan menyambut hari raya.
“Saya sudah lapan tahun tak dapat kerja akibat sakit jantung dan stroke,” katanya.
Bagi pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang berasal dari Kampung Padang Kemunting, Ibok Ahmad Salleh, 63, pula mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana telah memberi bantuan wang ihsan mangsa banjir MTL menjelang sambutan Aidilfitri.
Menurut Ahmad, wang sumbangan yang diterima hari ini akan digunakan untuk mengganti barangan yang rosak dan sedikit untuk persiapan raya.


Sadiah Mat Amin, 70, dari Kampung Meraga Beris, Kijal, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Madani di atas bantuan ini.
Sadiah yang lebih mesra dengan penggilan Mok Su berkata, ketika banjir Monsun Timur Laut (MTL) lalu beliau terpaksa berpindah sebanyak tiga kali di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Meraga Beris, Kijal.
Seorang lagi penerian bantuan ihsan mangsa banjir MTL, Noorisham Selamat, 50, berkata, ketika banjir melanda daerah Kemaman yang lalu, dia berpindah sebanyak dua kali di PPS Sekolah Kebangsaan Ibok.
Beliau yang berasal dari Kampung Kebun Sayur, Yakyah, Ibok, Kijal mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sumbangan bantuan ihsan mangsa banjir MTL 2024/2025.
“Wang RM1,000 yang diterima hari ini dapatlah membeli ganti barangan rumah yang rosak akibat banjir dan barangan keperluan harian sempena Aidilfitri,” ujarnya. – Suara Timur