Home Negeri‘Harga rumah tak naik walaupun kos binaan meningkat’ – Wan Rosdy

‘Harga rumah tak naik walaupun kos binaan meningkat’ – Wan Rosdy

oleh suara timur

TEMEELOH: Kerajaan Pahang memberi jaminan tidak akan menaikkan harga rumah PR1MA, Rumah Makmur dan semua skim perumahan mampu milik lain meskipun kos bahan binaan terus meningkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata langkah itu penting bagi memastikan rakyat di negeri ini terus berpeluang memiliki kediaman pada harga munasabah.

Menurutnya, kerajaan negeri komited menyediakan rumah mampu milik berkualiti tanpa menambah beban kepada pembeli.

Beliau berkata, selain mengekalkan harga, kerajaan turut menambah baik reka bentuk projek perumahan menerusi pembinaan rumah teres PR1MA Pahang pada fasa akan datang.

banner

“Kita tidak naikkan harga rumah walaupun kos binaan meningkat kerana rakyat tidak boleh dibebankan.

Disebabkan permintaan tinggi dan tanah semakin kecil, kerajaan negeri akan bina rumah teres PR1MA supaya lebih ramai dapat membeli,” katanya pada Program Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Sanggang dan Pelancaran Surat Tawaran Rumah Rakyat Pahang serta Rumah Makmur Pahang di Kampung Sanggang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata kerajaan juga mengarahkan Lembaga Perumahan Negeri menilai rekod pemaju bagi mengelakkan projek terbengkalai yang akhirnya merugikan rakyat.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 28,771 unit rumah bernilai RM2.1 bilion melalui skim seperti PR1MA Pahang, Rumah Makmur, Rumah Rakyat Pahang, PRR dan Ru’RASA sudah berjaya dibina.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai skim perumahan termasuk di luar bandar bagi memastikan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri. – Metro

Tinggalkan komen