KUALA TERENGGANU: Kira-kira 50 buah rumah di Kampung Sekati, Manir di sini mengibarkan Jalur Gemilang pada Program Satu Rumah Satu Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, semalam.
Jalur Gemilang itu diagihkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung berkenaan bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk.
Pengerusi KRT Kampung Sekati, Mohd Yasin Embong berkata pengagihan Jalur Gemilang bertujuan menanam rasa cinta akan negara, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, langkah tersebut diyakini mampu menceriakan lagi suasana persekitaran kampung, selain menghidupkan kembali tradisi menyambut bulan kemerdekaan dengan penuh warna-warni.

“Program itu bukan sahaja mengukuhkan perpaduan penduduk kampung, malah mengingatkan semua bahawa nikmat kemerdekaan hari ini lahir daripada perjuangan, keringat dan darah pejuang bangsa,” katanya.
Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 ialah Malaysia Madani: Rakyat Disantuni.
Beliau menambah, inisiatif itu juga memfokuskan kepada golongan remaja yang dilihat semakin leka dengan dunia gajet sehingga ada yang kurang menghayati erti kemerdekaan.
“Pengisian program tersebut diyakini dapat merapatkan hubungan masyarakat setempat, selain menghidupkan suasana sambutan Bulan Kemerdekaan dalam kalangan penduduk,” katanya. – Suara Timur