Negeri

380 kanak-kanak Tadika YIT Chukai jalani simulasi ibadat haji

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 380 kanak-kanak daripada Tadika Yayasan Islam Terengganu (Tadika YIT) Cawangan Chukai mengikuti Program Lambaian Kaabah, Simulasi Haji Cilik, semalam.

Program tersebut yang berlangsung di Kampung Gong Limau, Chukai bertujuan memberikan pendedahan awal kepada generasi muda mengenai ibadah haji melalui aktiviti simulasi dan pembelajaran interaktif.

Seramai 196 orang daripada kanak-kanak itu berusia 5 tahun dan 184 orang berusia 6 tahun dibimbing 42 orang tenaga pengajar yang diketuai Ketua Biro Kurikulum, Akhtar Najihah Anuar.

Guru Besarnya, Roslina Abdulllah berkata, kanak-kanak tersebut menjalani simulasi suasana sebenar mengerjakan haji, bermula dengan urusan menaiki kapal terbang ke Mekah.

GURU Besar Tadika YIT Cawangan Chukai, Roslina Abdulllah.

Katanya, program tahunan kali kelima itu bertujuan memberi pendedahan lebih luas kepada kanak-kanak terhadap ibadat yang menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam itu dan menyemai kecintaan mereka terhadap agama.

“Jemaah kanak-kanak itu dilepaskan dengan bacaan doa oleh Iman Masjid Jamek Chukai, Abdul Hadi Salleh yang juga bertindak sebagai mutawih,” katanya.

TENAGA pengajar Tadika YIT Cawangan Chukai, Kemaman.

Menurut Roslina, kanak-kanak itu
mengikuti pembelajaran tersebut secara praktikal termasuk memakai pakaian ihram manakala pelajar perempuan memakai telekung.

“Mereka juga diajar cara mengerjakan ibadah tawaf, tempat wukuf, mengutip batu dan melontar jamrah, Bukit Safa dan Marwah serta kawasan bertahallul,” ujarnya.

Program yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir pukul 11 pagi dengan kanak kanak diajar cara cara menyembelih kambing. – Suara Timur

Related Posts