Negeri

Tragedi pelajar UPSI: UMNO Terengganu lancar Tabung Sumbangan Khas

KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu melancarkan Tabung Sumbangan Khas bagi membantu meringankan beban mangsa dan keluarga pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan di Gerik, Perak, Ahad lalu.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, hasil sumbangan akan disalurkan terus kepada mangsa dan keluarga berkenaan dalam masa terdekat.

“Kami amat bersimpati dengan insiden kemalangan yang melibatkan pelajar-pelajar UPSI di Gerik baru-baru ini, lebih lagi mereka berasal dari Terengganu. Ramai antara mereka yang cedera parah, malah ada yang telah pergi meninggalkan kita.

“Bagi meringankan beban mangsa dan keluarga, Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu telah melancarkan Tabung Sumbangan Khas.

“Semoga segala sumbangan dan keprihatinan kita semua diberkati Allah SWT,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rozi memberitahu, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun: CIMB Bank
No Akaun: 8006588666 (UMNO Negeri Terengganu)

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian sekitar pukul 1 pagi berhampiran Tasik Banding, Gerik itu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV dinaiki empat sekeluarga.

Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera. – Suara Timur

Related Posts