Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kenaikan harga bahan mentah bukan satu alasan untuk peniaga lemang di Kijal dekat sini menaikkan harga sesuka hati sehingga membebankan pelanggan.
Peniaga, Rabiah Ismail, 59, berkata, kenaikan harga adalah perkara biasa bergantung kepada harga bahan seperti santan, beras pulut, kayu api, daun pisang dan buluh.
“Kami peniaga lemang terpaksa menaikan harga tetapi bukanlah sampai mencekek darah pelanggan.
“Kami juga faham masalah ekonomi hari ini. Ada pekerja yang berpendapatan rendah dan ada yang berpendapatan tinggi,” katanya ketika ditemui Suara Timur, hari ini.

Rabiah yang mesra dengan panggilan Kak Ruby berkata, bagi mereka yang berpendapatan tinggi mungkin tidak timbul masalah tetapi memberi kesan dalam kalangan berpendapatan rendah.
“Rata-rata peniaga lemang di sini menaikkan harga tidak terlalu tinggi dan tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengelak kerugian,’ katanya.
“Harga satu kilogram (kg) santan mencecah hingga RM16 berbanding sebelumnya yang hanya RM13. Setiap peniaga membeli santan sebanyak 10 kg sehari.
“Disebabkan kesukaran mendapat bekalan dari pembekal di Terengganu, kami terpaksa mendapat bekalan dari Pahang walaupun harganya agak tinggi,” ujarnya.

Menurut Rabiah, Lemang Kijal masih boleh didapati dengan harga RM4 hingga RM10 sebatang bergantung kepada sais buluh.
Beliau mula menjual lemang ketika berusia 24 tahun di Kampong Kijal sebelum berpindah di Gerai Lemang Kijal Jalan Pintasan Teluk Kalong, Kijal berhadapan dengan stesen minyak Shell sejak 20 tahun lalu.
Kepada mereka yang ingin menempah untuk hari raya boleh hubungi melalui WhatsApp atau telefon Rabiah di nombor telefon 014-8065674. – Suara Timur