KUALA TERENGGANU: Pakar Perunding Nefrologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Ghazali Ahmad dinobatkan Tokoh Maal Hijrah 2025 peringkat negeri.
Dr Ghazali, 67, yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Penyakit Bersepadu (IDMD) IJN memiliki pengalaman dalam bidang perubatan, terutama dalam nefrologi dan transplantasi, antara tokoh penting dalam landskap kesihatan negara dan rantau Asia Pasifik.
Dr Ghazali yang berasal dari Kampung Penunjuk, Kijal, Kemaman, antara pakar yang terbabit merawat Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di IJN.
Dia juga pernah diberi tanggungjawab memberikan khidmat perubatan kepada beberapa tokoh negara termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa menteri Kabinet.
Dr Ghazali berkata, negara tidak ketandusan pakar dalam pelbagai bidang kritikal terutama perubatan.
“Kita dipertanggungjawabkan untuk merawat ramai pemimpin negara daripada pelbagai peringkat dan ia satu pengalaman sangat berharga kerana dalam masa yang sama kita dapat memainkan peranan sebagai rakyat negara untuk berbakti kepada tanah air.
“Pada tahap apa sekalipun, apabila seseorang datang untuk mendapatkan rawatan, kita perlu menggunakan sepenuhnya kepakaran dan kemahiran untuk menyumbang kepada negara,” katanya kepada media, di sini, hari ini.
Dr Ghazali berkata demikian selepas menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Yang Dipertua Muda, Tengku Muhammad Ismail Sultan Zainal Abidin berkenan berangkat mewakili Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin merasmi dan menyampaikan anugerah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri 2025.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin.
Dr Ghazali berkata, bagi mengelakkan kebergantungan kepada negara luar, kerajaan perlu memainkan peranan melahirkan lebih ramai pakar terdiri daripada anak tempatan.
Mengulas anugerah yang diterima, Dr Ghazali mengakui, berat untuk menerima anugerah itu kerana mengakui sumbangan diberikan tidak seberapa.
Katanya, ramai lagi warga Terengganu terutama yang terbabit dalam bidang perubatan berbakti dengan lebih cemerlang di peringkat negeri dan negara serta di peringkat antarabangsa. – Berita Harian