KUALA TERENGGANU: Perlumbaan Terengganu Pushbike 2025 edisi ke-4 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, mencipta sensasi tersendiri apabila kategori tumpuan bagi acara lelaki dan wanita didominasi oleh pelumba-pelumba cilik dari selatan tanah air.
JB Rocket Team, Tornado Riders Pontian, Shark Speed Pushbike Club dan M8 Johor yang dibarisi oleh pelumba-pelumba cilik seawal usia dua tahun sensasi tersendiri setelah bersilih ganti menaiki podium malah turut meraih kejuaraan bagi kategori terbuka lelaki dan wanita yang menjadi tumpuan pada hari terakhir perlumbaan.
Bagi kategori lelaki terbuka yang melabuhkan tirai pada hari terakhir perlumbaan, pelumba Muhammad Nur Ammar Mohd Yatim ‘Ammar 5″ dari pasukan Tornado Riders Pontian dinobatkan selaku juara manakala di tempat kedua milik Mikail Adha Azizul dan di tempat ketiga dirangkul oleh Muhammad Rayqal Muhammad Hazul Haffiz di mana kedua-dua pelumba tempat kedua dan ketiga ini dari pasukan JB Rocket Team.

“Sebenarnya bukan laluan mudah buat setiap pelumba dari kelab ini untuk meraih juara di sini di mana ada pelumba-pelumba kami hampir hilang momentum pada hari pertama perlumbaan setelah keletihan menempuh perjalanan jauh dari Pontian.
“Begitu juga dengan cabaran dari pelumba-pelumba lain yang mempunyai reputasi besar dalam arena sukan pushbike tanah air ini dan juga kehadiran pelumba-pelumba dari luar negara menjadi cabaran berganda buat kami.

“Meraih juara bagi kategori lelaki terbuka ini sememangnya menjadi satu penanda aras terbaik buat pelumba itu sendiri dan juga buat kami selaku kelab kerdil dari Pontian yang memfokuskan pembangunan sukan pushbike ini,” ujar Salzerul Daud yang juga selaku presiden Tornado Riders Bike Club yang berpangkalan dari Pontian, Johor.
Manakala kategori wanita terbuka pula sekali lagi memperlihatkan pasukan dari selatan tanah air mendominasi podium yang dirangkul oleh JB Rocket Team oleh pelumba Nur Faliesha Farisa Mohd Fariduddin Fawwaz di tempat pertama, pelumba Nur Ayra Hanania Alif Shahpur Ridhwan dari pasukan Shark Speed Pushbike Club di tempat kedua dan pelumba Nur Qaisara Damia Muhammad Ridhwan dari pasukan M8 Johor untuk di tempat ketiga Terengganu Pushbike 2025 ini.

“Alhamdullilah selama dua hari perlumbaan di Kuala Terengganu ini dengan cuaca tidak menentu ini kami mampu untuk turut sama bersaing dengan pelumba-pelumba hebat dari Thailand, Singapura dan Indonesia di mana kami menaiki podium dalam semua kategori yang kami sertai.
“Sudah tentu merangkul juara bagi kategori wanita terbuka menjadi penamat yang terbaik untuk kami setelah menempuh perjalanan jauh dari Johor yang amat memenatkan sewaktu musim cuti persekolahan ini.
“Melihat pada cabaran litar di sini ianya mempertaruhkan taktikal dan teknikal untuk pasukan di mana kami selaku orang dewasa untuk menterjemah sebaik mungkin kepada pelumba-pelumba kami yang rata-ratanya berusia bawah 9 tahun ini.

“Realiti cabaran sebenar buat pasukan bukan hanya kemampuan pelumba itu sendiri malah kerjasama dan komunikasi di di dalam pasukan menjadi kunci untuk mengawal emosi dan momentum pelumba-pelumba cilik ini,” ujar Azizul Mahadi yang menggalas tanggungjawab selaku pengurus pasukan JB Rocket Team untuk perlumbaan di Kuala Terengganu ini.
Melihat sambutan luar biasa sehingga berjaya menarik penyertaan dari luar dan dalam negara yang menghimpunkan 315 pelumba cilik ini, ketua pegawai ekskutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim optimis untuk meneruskan edisi penganjuran seterusnya pada tahun hadapan.

“Sebenarnya kami tidak menyangka edisi ke-4 kali ini menerima penyertaan yang lebih ramai malah untuk pertama kali ada di kalangan pelumba ini dari luar negara sekaligus meletakkan penanda aras baharu bagi prestij perlumbaan ini yang dilihat pada awalnya sebagai satu pengisian program sewaktu musim cuti persekolahan ini.
“PSKT merupakan salah satu entiti yang beroperasi untuk memperkasakan dasar pendidikan STEM(pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) negara di mana sukan pushbike ini merupakan salah satu elemen yang diambil oleh kami untuk merapatkan jurang pendidikan dengan masyarat setempat khususnya dari luar bandar,” ujar ketua pegawai ekskutif PSKT Mohd Huzairil Nizam Ibrahim sejurus merasmikan majlis penutup Terengganu Pushbike 2025. – Suara Timur