KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti tambahan sehari sempena Aidilfitri sama ada pada Jumaat depan atau Isnin berikutnya.
Beliau berkata, cuti pada Isnin, 23 Mac diberikan jika 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat depan, manakala cuti sehari lebih awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac jika 1 Syawal disambut pada Sabtu.
“Sama ada Aidilfitri disambut pada Jumaat atau Sabtu jangan bimbang, kita beri cuti tambahan hari raya.
“Kalau raya pada Jumaat maka cuti tambahan pada Isnin 23 Mac, kalau raya pada Sabtu, cuti tambahan Jumaat, 20 Mac.
“Kenapa umum awal, supaya orang ramai boleh buat perancangan cuti Aidilfitri,” katanya pada perasmian Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Berikutan itu, cuti Aidilfitri pada kali ini bertambah sehari kepada tiga hari. – Metro
