KUALA TERENGGANU: Solat Isyak dan Tarawih disifatkan paling ‘rare’ berikutan hanya menggunakan kanvas, karpet serta berbumbungkan langit yang dilakukan di tanah lapang di kawasan, Bukit Bayas, dekat sini, sejak awal Ramadan lalu.
Menurut pengasas, Maktab Darjah Satu (Madas) Center, Mohd Khairul Fadhli Muhammad, 39, idea menunaikan solat Isyak dan Tarawih berjemaah secara ‘out door’ bertujuan untuk menarik golongan muda sama-sama beribadah pada Ramadan.
Katanya, selain dilakukan di kawasan lapang berbumbungkan langit, solat Tarawih ini boleh dikatakan pertama dilakukan secara terbuka di Terengganu.
“Tujuan kami hendak tarik anak-anak muda iaitu Gen Z, selain itu bacaan juga sedikit ‘dilajukan’ daripada kebiasaannya dan bagi solat lapan rakaat hanya mengambil masa lima hingga enam minit.
Manakala bagi solat 20 rakaat termasuk tiga solat sunat Witir hanya mengambil masa 20 hingga 30 minit keseluruhannya,” katanya ketika ditemui di kawasan lapang tapak pasar malam Bukit Bayas, dekat sini.
Menurutnya, pihaknya sudah meminta keizinan daripada pihak yang menjaga tapak berkenaan untuk menjadikan salah satu lokasi menunaikan solat Isyak dan Tarawih berjemaah secara terbuka.
“Alhamdulillah, ia mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat terutama generasi muda, kami lakukan ini bertujuan juga untuk memudahkan golongan yang tidak berkemampuan dari segi fizikal.
“Golongan tua yang mempunyai masalah sakit lutut serta sendi dan sebagainya juga memanfaatkan cara dan pendekatan yang kami lakukan ini kerana dapat meringankan mereka untuk beribadah,” katanya.
Menurutnya, hukum dalam setiap solat tetap dijaga namun ia dilakukan sedikit laju dan ia betul mengikut syariat serta mengikut mazhab empat imam.
Katanya, tahun ini adalah tahun pertama solat Tarawih berbumbungkan langit diadakan dan Insya-Allah tahun akan datang pihaknya akan melaksanakannya lagi kerana ia dilihat satu pendekatan baharu.
Mohd Khairul berkata, pada mulanya kira-kira 20 jemaah saja menghadiri solat sunat Tarawih yang dianjurkan namun kini sudah melebihi 80 jemaah yang hadir.
“Untuk persediaan sekiranya hujan, kami juga menyediakan khemah bagi membolehkan jemaah beralih menunaikan solat sekiranya hujan berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Khairul berkata, Madas yang baharu ditubuhkan pada September tahun lalu adalah kelas mempelajari ilmu asas fardhu ain secara dalam talian di aplikasi TikTok yang dilaksanakan secara percuma.
“Kami kini mempunyai 4,000 pelajar dari seluruh negara dan kita mengajar asas fardhu ain kepada peserta seperti mana murid-murid darjah satu di sekolah,” katanya.
Katanya, kaedah santai ini dilihat satu alternatif buat orang ramai yang ingin menunaikan solat tarawih kerana mereka boleh singgah dan menunaikan solat dengan lebih mudah. – Metro
